Berlakon adegan sensitif, Mia Sara minta pandangan Afdlin Shauki


  • Hiburan
  • Isnin, 06 Jun 2022

Mia Sara meminta pendapat bapanya sebelum melakonkan adegan merokok.

MELAKONKAN babak sensitif seperti merokok, pelakon, Mia Sara, 23, mengakui dia terpaksa berbincang dengan bapanya yang juga seorang pengarah, Datuk Afdlin Shauki.

Menurut Mia Sara, perkara itu dirasakan perlu apatah lagi adegan itu dianggap sebagai sesuatu yang sensitif dan boleh mengundang persepsi orang ramai terhadapnya.

"Sebenarnya saya menganggap papa (Afdlin) bukan sahaja sebagai penyokong, tetapi juga pengkritik utama saya dalam dunia lakonan.

"Sebab itu bila ada adegan merokok, saya tanya kepada dia dahulu dan respons yang diberikan adalah positif kerana itu adalah satu bentuk pengajaran kepada penonton khususnya ibu bapa," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-06-06 at 6.40.10 PM

Mia Sara berbangga dapat berlakon di bawah arahan James Lee.

Mia Sara berkata, Afdlin memberitahunya yang babak merokok selalunya akan dipotong bahagian tapisan drama/filem kerana mereka mempunyai kuasa bila melibatkan isu sensitif.

Tetapi jelasnya, jika adegan itu tidak dipotong, ia adalah satu peluang untuk memberi gambaran mengenai realiti sebenar pelajar wanita yang merokok di sekolah.

"Bagi papa, lakonan saya itu adalah untuk memberi peringatan juga kepada ibu bapa supaya lebih peka terhadap anak-anak," katanya.

Untuk rekod, Mia Sara melakonkan babak tersebut dalam drama siri terbaharunya berjudul Histeria The Series yang diarahkan James Lee.

WhatsApp Image 2022-06-06 at 6.41.26 PM

Mia Sara menganggap bapanya sebagai penyokong dan pengkritik tegarnya dalam dunia lakonan.

Menurut Mia Sara, dia berbangga kerana dapat bekerja dengan pengarah hebat selain berlakon dengan nama besar seperti Nam Ron, Liyana Jasmay, Farah Ahmad dan Ziana Zain.

"Sebenarnya James Lee dah minta saya datang uji bakat buat kali pertama tetapi saya tidak hadirkan diri kerana rasa tidak cukup layak untuk memegang watak penting dalam dramanya.

"Tetapi lima bulan selepas itu dia minta lagi saya hadir dan ketika itu, papa pun ada memberi saya keyakinan supaya tidak mensia-siakan peluang untuk bekerja dengan pengarah terkenal," katanya.

Drama Histeria The Series merupakan kesinambungan kepada filem Histeria yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2008.

Ia mengisahkan tentang pelajar wanita di sebuah sekolah berasrama mulai dihantui oleh perkara misteri dan membawa mereka untuk menjejak kes pembunuhan yang berlaku 10 tahun lalu di sekolah mereka.

Histeria The Series bakal temui penonton bermula 6 Jun ini setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di saluran Astro Citra, saluran 108 atau strim di platform Astro GO atau On Demand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram