Gas memasak meletup 3 kali punca kedai kopi terbakar


  • Benua
  • Isnin, 06 Jun 2022

Keadaan kedai kopi terbabit selepas kebakaran berjaya dipadamkan pasukan bomba. — Agensi

BUNYI letupan yang mengakibatkan kebakaran di kedai kopi Crafe yang terletak di Arked Jalan Merdeka 1, dekat Denpasar Timur, Kota Denpasar, Bali, Indonesia mengejutkan kakitangan dan para pelanggan.

Jurucakap polis daerah, Iptu I Ketut Sukadi berkata, kebakaran yang berlaku pada Isnin pagi itu berpunca daripada tiga kali letupan gas memasak.

Beliau berkata, pemiliknya kedai itu, Kevin Cassius Candra, 25, hanya mengetahui tentang perkara tersebut selepas dihubungi kakitangannya.

Sukadi berkata, kakitangan kedai itu yang dikenali sebagai Kadek Ariana menggunakan gas memasak untuk memanaskan minyak pada mesin penggoreng sebelum kebakaran berlaku.

Katanya, dapur itu kemudian dibiarkan hidup, sementara dia melayani pelanggan yang berkunjung ke premis itu.

Selepas melayan pelanggan, pekerja itu kemudian kembali ke dapur dan menutup dapur tersebut sebelum membuka penutup mesin penggoreng.

"Namun, apabila dia membuka penutup mesin itu, secara tiba-tiba api terpancut dari gas memasak yang kemudian menyambar sebahagian bangunan itu," jelas Sukadi.

Turut musnah dalam kejadian itu adalah set dapur, peralatan digunakan untuk memasak, mesin kopi, meja dan kerusi serta sistem bunyi.

Sukadi berkata, pasukan bomba dengan lima unit jentera tiba di lokasi sekitar pukul 8.40 pagi, manakala kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 9.15 pagi.

Tiada kemalangan jiwa direkodkan dalam kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram