Gantikan ayah, pelajar ini antara jemaah haji termuda


  • Benua
  • Isnin, 06 Jun 2022

Dalam usia yang sangat muda itu Ilma (kanan) masih berasa terkejut kerana dipilih menjadi salah satu tetamu ALLAH.  — Agensi

MUSIM haji kembali lagi selepas dua tahun tertangguh akibat penularan wabak Covid-19 dan pada kali ini banyak kisah menarik di sebalik pemergian jemaah tahun ini.

Salah seorang daripadanya jemaah yang mempunyai kisah tersendiri ialah Ilma Rosyidi, pelajar berusia 19 tahun yang pergi ke Tanah Suci menggantikan bapanya yang meninggal dunia, sekali gus menjadi antara jemaah termuda Indonesia yang menunaikan haji tahun ini,

Saat diwawancara, wajah Ilma tersipu malu sewaktu ketika berjalan bersama ibunya untuk menunaikan solat Zohor di Masjid Nabawi.

Dalam usia yang sangat muda itu Ilma masih berasa terkejut kerana dipilih menjadi salah satu tetamu ALLAH.

Pelajar institusi STPN Yogyakarta, Indonesia itu menggantikan bapanya yang meninggal dunia akibat sakit jantung tahun lepas.

Walaupun masih bersedih, Ilma bersyukur kerana dapat pergi menunaikan rukun Islam kelima itu meskipun hanya mempunyai masa persiapan yang agak singkat.

Ibu Ilma, Lilis Laila Sari berharap anak perempuannya itu juga dapat mendoakan arwah ayahnya.

"Jodoh, rezeki dan maut, memang telah diatur oleh yang Maha Kuasa. Manusia hanya bisa berupaya," katanya.

Di Masjid Nabawi, Ilma berniat untuk berdoa tanpa henti untuk Alllahyarham ayahnya dan dia berharap agar keluarganya dapat berkumpul semula di syurga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram