Komposer Dr Wan Zawawi meninggal dunia, rakan kongsi kisah di sebalik lagu Pengasih, Nigina


  • Hiburan
  • Rabu, 18 Mei 2022

Arwah dikesan mempunyai masalah saluran jantung tersumbat, kira-kira dua bulan lalu.

AHLI akademik, komposer dan penyanyi, Prof Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim, 75, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.47 pagi pada Rabu akibat serangan jantung.

Perkara itu disahkan isterinya, Noorshah Mohd Salleh yang turut memaklumkan bahawa suaminya menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Petaling Jaya, Selangor ketika hendak menunaikan solat Subuh.

Ramai yang merasai kehilangan Dr Wan Zawawi, apatah lagi arwah merupakan seorang yang cukup berpengaruh dalam dunia seni.

Seorang rakan arwah, Mohamed Hadi AH sempat berkongsi kisah mengenai Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang sarjana dan cendekiawan yang berbeza.

"Umur 31 sudah merangkul ijazah doktor falsafah (PhD). Meski bergelar Profesor dan kembara serata alam, namun hasil karya lagunya yang tetap paling diingati orang.

"Adikarya terbesarnya ialah lagu Perjalanan Hidup (Datuk Ramli Sarip), orang sangka Dr Wan Zawawi cuma menulis liriknya sahaja tapi melodi pun ciptaan beliau juga.

"Selebihnya banyak lagu-lagu yang beliau hasilkan lirik yang berkesan seperti Pengasih (Iwan), Nigina (Search) dan Tari Cinta Rimba Mistikal (Datuk M.Nasir)," katanya.

maxresdefault

Lagu Nigina dendangan Search mempunyai sentuhan Allahyarham Dr Wan Zawawi.

Mohamed Hadi turut bercerita kisah bagaimana lagu Pengasih dendangan Iwan dan Nigina nyanyian Search yang dicipta oleh Allahyarham.

"Macam lagu Pengasih, Dr Wan cerita Iwan datang jumpa dia datang bawa demo tape dan beritahu yang dia mahu Dr tulis lirik lagu macam lagu Perjalanan Hidup. Maka terhasillah lagu Pengasih.

"Lagu Pengasih ini kalau duduk dalam gelap malam-malam sorang-sorang (jangan berdua, nanti jadi benda lain) sambil dengar lagu ni boleh menangis.

"Lagu Nigina pula, Amy Search datang bawa demo tape dan beritahu yang tajuk lagu ini ialah Nigina dan selebihnya pandai-pandailah Dr Wan melengkapkannya," katanya.

Selain Iwan dan kumpulan Search, Allahyarham pernah berduet bersama Datuk M.Nasir dalam lagu Mencari Amerika dan pernah menghasilkan lirik lagu untuk penyanyi Gred A negara seperti Datuk Sharifah Aini, Ella, Iklim, Datuk Khadijah Ibrahim dan Amy Search. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram