SELEPAS memuat naik gambarnya di atas pelamin bersama seorang lelaki sambil memegang bunga, ramai yang menyatakan rasa 'kecewa' kerana menyangkakan bahawa Jue Aziz sudah berkahwin lagi.
Namun, perkara itu dinafikan Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abd Aziz yang mengakui bahawa dirinya kini masih lagi belum berpunya.
"Sebenarnya majlis pertunangan itu adalah melibatkan anak buah saya. Saya hanya bergambar dan ambil berkat sahaja.
"Tak sangka pula jadi kecoh macam ni sebab gambar tu pun tak nampak macam orang bertunang, siap pegang bunga sama-sama bersentuhan," katanya.
Gambar yang dimuat naik Jue Aziz hingga ramai yang menyangkakan bahawa dia sudah bertunang.
Menurut Jue, dia menghargai setiap doa dan ucapan tahniah yang dihantarkan kepadanya dengan harapan bahawa berkat itu akan menjadi satu kenyataan.
"Ada bagusnya juga jadi macam ini sebab ramai yang ingat Jue dah berkahwin atau tak pernah kahwin lagi.
"Jadi isu ni dapat meleraikan kekeliruan yang ada. Saya single lagi.
"Dekat luar sana jangan frustrated sangat. Kelakar juga tengok komen yang betul-betul menceriakan hari saya," katanya.
Untuk rekod, Jue sebelum ini sudah mendirikan rumah tangga bersama pemuzik dari Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmad Daniel pada Mac 2014.
Namun, Jue mendedahkan yang dia tidak lagi bergelar isteri kepada Bayu pada Januari 2019 dan enggan mendedahkan secara terperinci berkenaan perkara itu.
Sepanjang perkahwinan, pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata namun Jue telah mengambil seorang anak angkat bernama Darwish Naufal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram