Kenapa meminta duit raya dilarang agama?


  • Mukmin
  • Khamis, 05 Mei 2022

Contoh warganet yang meletakkan QR Code akaun di media sosial mereka untuk meminta duit raya. — Facebook

PEMBERIAN duit raya kepada ibu bapa, sanak saudara dan rakan terdekat merupakan antara tradisi yang sering dilakukan oleh masyarakat Melayu terutamanya ketika menyambut Syawal.

Memberi secara kerelaan dikira sedekah tetapi menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila segelintir umat Islam sengaja meminta-minta duit raya, bukan saja dengan ahli keluarga sendiri tetapi juga daripada orang ramai menerusi media sosial.

Tinjauan Majoriti di sekitar media sosial mendapati ada warganet yang sengaja memaparkan nombor akaun bank ataupun meletakkan QR Code akaun di media sosial mereka untuk meminta duit raya.

Tanpa sedar perkara itu sebenarnya dilarang dalam agama seperti dinyatakan Ustaz Mohamad Dhiyauddin Abdul Kadir yang menyifatkan perbuatan meminta-minta duit raya juga boleh membuat seseorang itu berdosa.

"Minta duit raya sebenarnya dosa. Beri duit raya itu sedekah. Meminta-minta pula dilarang agama. Kata Nabi menurut Riwayat Muslim, Siapa meminta minta untuk menambahkan hartanya, sungguh dia telah meminta bara api," kata ustaz tersebut.

Mohamad Dhiyauddin berkata, dalam hadis lain turut menyatakan larangan meminta seperti sabda Nabi Muhammad SAW, "Tidaklah seseorang itu meminta-minta sehingga nanti dia bertemu Allah tanpa seketul daging pun berada di wajahnya." [Riwayat Muslim]

"Imam an-Nawawi kata, ulama sepakat haramnya meminta-minta jika bukan dalam keadaan darurat. Haram juga jika darurat tapi mampu bekerja. Sebahagian ulama kata makruh. — [al-Minhaj 7/127]

"Kita pula rilek saja minta duit raya padahal ianya dosa walaupun adat terbiasa. Wallahua’lam," kata Mohamad Dhiyauddin dalam ciapan Twitternya.

Menurutnya, jika golongan kanak-kanak yang meminta-minta, ianya adalah perbuatan yang dimaafkan tetapi untuk golongan orang dewasa yang sihat tubuh badan dan mampu bekerja, ia perkara yang memalukan.

"Ini yang dah besar panjang, dah kerja, sihat tubuh badan masih minta-minta duit raya, apa lagi kat strangers online. Tak malu ke?

"Lepas ini kita cuba ubah. Kita yang dah besar ini kumpul duit lepas itu kita bagi dekat anak-anak, keluarga dan kaum kerabat terutama yang kita tahu dia orang susah. Lepas itu kita perlahan-lahan pesan kat adik atau anak, jangan biasakan minta duit raya. Kalau dapat syukur, tak dapat jangan minta," katanya.

Memberi duit raya ialah tradisi kaum Melayu yang diberikan kepada sanak saudara dan jiran tetangga dan ia tidak menjadi permasalahan dalam mengamalkannya.

Namun, jika diminta-minta, maka perkara itu adalah tidak digalakkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram