Wajah terpampang di NY Times Square, mimpi Siti Nurhaliza jadi kenyataan


  • Hiburan
  • Rabu, 18 Mei 2022

Gambar wajah Siti Nurhaliza yang terpampang di papan iklan digital New York, Amerika Syarikat.

PENYANYI terkemuka negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya diberi penghormatan apabila wajahnya dipaparkan di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

Menurut Siti, dia menganggap perkara itu sebagai detik yang terindah buatnya sepanjang berada dalam industri hiburan.

"Selepas begitu banyak detik-detik manis dalam industri hiburan, ini mungkin antara yang terindah buat saya.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas penghormatan ini. Melihat wajah saya terpampang di salah satu tempat paling popular di dunia adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan," katanya.

1 (5)

Wajah Siti Nurhaliza terpampang di papan iklan digital yang cukup ikonik di New York, Amerika Syarikat.

Menurut Siti, dia sangat bersyukur kerana diberi peluang sama seperti beberapa penyanyi wanita yang diberi kesempatan sama sebelum ini.

"Saya harap akan dapat terus memenuhi harapan para peminat dengan menghasilkan lebih banyak karya yang hebat.

"Saya juga berharap ini akan memberi inspirasi kepada ramai anak gadis di luar sana untuk terus berusaha dan jangan berhenti mengejar impian," katanya.

Penampilan Siti yang mewakili negara Malaysia pada papan iklan terkenal itu adalah sebahagian daripada kempen Equal oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Terdapat 35 senarai lagu atau playlist Equal yang meliputi artis dari 50 buah negara dan Siti merupakan salah satu wakil bagi senarai lagu Equal Malaysia dan Singapura.

Siti juga menjadi warga Malaysia kelima untuk menghiasi papan iklan digital di Times Square selepas Yuna, Layla Sania, kumpulan Dolla dan Iman Troye. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram