PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak berharap anak buahnya terus menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti aksi menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super pada Selasa.
Beliau berkata, meskipun hanya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan itu, namun perubahan corak permainan yang ketara dan lebih baik berbanding sebelum ini, melegakannya sekali gus sebagai petanda baik buat pasukan itu.
"Semua pemain termasuk pemain muda dapat bermain dengan baik terutama di posisi tengah walaupun tanpa tonggak import Dechi Marcel sejak separuh masa pertama dan ia lebih teratur pada separuh masa kedua.
"Mereka dapat menyerap tekanan, saya tetap menaruh kepercayaan dan berbangga dengan pemain yang bermain bersungguh-sungguh hingga wisel penamat ditiup pengadil," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan pasukan KDA FC mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah Selasa malam.
Kedudukan seri itu menyebabkan Kedah berada di kedudukan keempat liga di bawah Negeri Sembilan dengan 13 mata.
Aidil Sharin turut memuji barisan pemain pertahanan pasukannya kerana dapat mengekang asakan lawan dengan baik dan tidak bolos seperti beberapa perlawanan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau mengharapkan pasukannya itu akan lebih mantap selepas jendela perpindahan pemain import tidak lama lagi.
"Ya, kami perlu ada perubahan pemain sebab kami hendak jadi lebih baik, Kedah hendak jadi pasukan terbaik terutama untuk mengharungi liga dan akan bertemu JDT dan Piala AFC nanti," katanya.
Aidil Sharin berkata, beliau akan terus berusaha membaiki segala kepincangan pasukan serta meningkatkan prestasi pemain.
"Tidak ada cuti. Pemain perlu lebih berlatih untuk kembalikan prestasi terbaik dan mereka positif apabila dimaklumkan perkara tersebut," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram