Siap dibina 2019, laluan ke Kiulu terpaksa ditutup akibat tebing runtuh


  • Primer
  • Rabu, 18 Mei 2022

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang selepas hujan berterusan di kawasan itu.

SEBAHAGIAN besar Jalan Pukak Pahu Nulu di daerah kecil Kiulu, Tuaran kira-kira 35 kilometer dari Kota Kinabalu, ditutup berikutan tanah runtuh pada Selasa.

Jalan yang menghubungkan Kampung Lokos dan Kampung Pahu itu merupakan sebahagian daripada laluan Telipok-Kiulu-Rondogung yang telah siap pada penghujung 2019.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ali Ahmad Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang selepas hujan berterusan di kawasan itu.

Beliau berkata, bahagian jalan yang runtuh itu berukuran kira-kira 16 meter panjang dan 20 meter dalam.

“Sebagai langkah keselamatan, jalan itu ditutup kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, orang ramai boleh menggunakan Jalan Tomis Tiong Lokub sebagai laluan alternatif.

“Dalam pada itu, pihak kami telah bekerja sejak pagi tadi untuk membina jalan lencongan sementara.

“Kami tidak pasti seberapa lama masa yang akan diambil untuk membaik pulih, tetapi orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan ini buat masa ini. Kami akan memberikan maklumat terkini mengenai perkara itu secepat mungkin,” kata Ali Ahmad.

Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan JKR Sabah yang memberi jaminan tindakan segera sedang diambil untuk menyelesaikan perkara itu.

Bangkuai, yang juga Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, menambah bahawa beliau akan melawat tapak itu bersama Ali Ahmad pada pukul 2 petang Rabu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jalan Runtuh, Tanah Runtuh, Kiulu, Pemandu