SYARIKAT peruncitan terkemuka, AEON CO. (M) BHD. (AEON) berkolaborasi dengan kumpulan animasi Omar & Hana yang sangat sinonim dengan konten video Islamik dalam kalangan kanak-kanak menerusi pelancaran rangkaian produk onigiri yang didatangkan dalam lima perisa enak khas untuk selera si cilik.
Menariknya, lima perisa onigiri yang diperkenalkan untuk pasaran kanak-kanak itu turut diwakili oleh watak di dalam animasi Omar & Hana sendiri.
Perisa kacang merah (red bean) diwakili oleh Omar, kacang dan coklat (choco peanut) pula diwakili oleh Hana, kentang mayonis (potato mayo) diwakili oleh Sara, tuna mayonis (tuna mayo) diwakili oleh Yuki dan ketam mayonis (kani mayo) diwakili oleh Indra.
Ketua Pegawai Operasi AEON CO. (M) BHD, Sunny Setiawan berkata, usaha sama itu merupakan salah satu langkah AEON untuk menggiatkan pembangunan produk asimilasi Malaysia-Jepun dan diyakini mampu mendapat sambutan baik daripada para pelanggan AEON dan peminat Omar & Hana sendiri.
“Kami bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan kumpulan animasi terkenal Omar & Hana untuk memasarkan rangkaian onigiri dengan perisa terbaharu kami," katanya ketika menghadiri majlis pelancaran produk itu AEON Mall Shah Alam, Selangor pada 14 Mei lalu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON CO. (M) BHD., Dr Kasuma Satria; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Digital Durian, Sinan Ismal dan Pengurusan IP Tempatan & Pembangunan Perniagaan Astro, Izrol Izuddin Ahmad.
Acara pelancaran produk itu turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Omar & Hana yang mempromosikan rangkaian onigiri tersebut serta aktiviti kuiz bersama pengunjung. Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan tayangan perdana video dan lagu onigiri Omar & Hana.
Tetamu cilik yang hadir dihiburkan dengan tayangan perdana video dan lagu onigiri Omar & Hana.
Mengulas lanjut, Sunny Setiawan berkata, pemilihan produk onigiri sebagai pencetus kolaborasi itu juga adalah bertujuan untuk memperkenalkan budaya makan makanan sihat dan berkhasiat dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
"Onigiri juga merupakan makanan dari Jepun yang bukan sahaja boleh dimakan segera malah mengenyangkan. Justeru, AEON ingin membawa corak dan budaya pemakanan yang sihat ini di negara kita.
"Kami ingin jadikan AEON sebagai duta kecil Jepun di Malaysia yang dapat memperkenalkan dengan lebih dekat budaya positif masyarakat Jepun. Produk yang akan dihaslkan oleh AEON Delicatessen ini juga adalah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim)," ujar beliau lagi.
Sementara itu, Sinan Ismail berkata, bagi melaksanakan kerjasama itu, pihaknya ingin memperkenalkan makanan yang berkhasiat dan senang dimakan oleh kanak-kanak dan memilih onigiri sebagai hidangan tersebut.
"Kami yakin onigiri adalah produk yang paling tepat. Ianya berasal dari Jepun dan merupakan antara makanan yang amat digemari waktu kini.
“Kami juga berasa amat bertuah dapat berkolaborasi dengan pihak AEON, sebuah syarikat yang mempunyai rangkaian pasar raya yang luas. Melalui rangkaian ini, sudah tentu onigiri Omar & Hana dapat dinikmati oleh ramai pelanggan di seluruh negara, bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa,” ujar beliau.
Kolaborasi antara AEON dengan Omar & Hana adalah sejajar dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 8 – Kerjaya Yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi yang memberi tumpuan ke arah menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, pekerjaan yang menyeluruh, baik lagi produktif kepada semua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram