Kes basikal lajak: Sri Ram ketuai rayuan Sam Ke Ting


Sri Ram akan mengetuai pasukan pembelaan untuk menjalankan rayuan bagi pihak Ke Ting.

BEKAS Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan oleh kerani, Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak.

Peguam Harvinderjit Singh, apabila dihubungi mengesahkan perkara itu.

Peguam itu berkata, beliau akan hadir bersama Sri Ram untuk mewakili Ke Ting, sambil menambah pelantikan mereka telah dimuktamadkan pada Khamis.

Harvinderjit Singh berkata, Ke Ting bertemu Sri Ram di pejabatnya pada Khamis dan beliau telah bersetuju untuk menjalankan rayuan itu bagi pihak Ke Ting, sambil menambah peguamnya, Faizal Mokhtar juga akan menjadi sebahagian daripada pasukan perundangan itu.

Beliau berkata, dia akan memaklumkan kepada timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan mengenai pelantikan mereka dan juga akan meminta rekod rayuan disediakan untuk menyediakan kes serta petisyen rayuan.

Pengurusan kes bagi rayuan Ke Ting ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd Khairi Haron pada 11 Mei.

Pada 18 April lepas, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Ke Ting untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Ke Ting untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 April dan dia dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Ke Ting selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu.

Beliau juga memerintahkan wanita itu dikenakan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan larangan memandu selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Ke Ting yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram