Klip video ulama berhibur di kelab malam, Idris Ahmad tidak berani komen


  • Primer
  • Khamis, 05 Mei 2022

Tangkap layar ulama itu memakai topi berwarna biru dalam video berkenaan. — Facebook

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyerahkan kepada pihak berkuasa agama untuk membuat siasatan mengenai kes tokoh agama didakwa berhibur di kelab malam.

"Saya tidak berani komen kerana benda itu tak pasti. Biar pihak berkuasa siasat," katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas klip video yang kononnya memaparkan seorang tokoh agama dan penasihat sultan sedang berhibur di sebuah kelab malam.

Majoriti sebelum ini melaporkan umat Islam di Malaysia digemparkan dengan penularan rakaman video di media sosial yang mendakwa seorang ulama tersohor negara sedang asyik berhibur di kelab malam.

Menurut hantaran asal dari pengguna Facebook, Zaharin Mohd Yasin, ulama dalam video berkenaan merupakan anak Melayu pertama yang menjadi pensyarah di Universiti Oxford, England.

Dalam video berdurasi dua minit 15 saat itu menyaksikan ulama berkenaan memakai topi berwarna biru dalam keadaan leka mendengar lagu di kelab malam itu sambil ditemani seorang wanita yang tidak dikenali.

Sementara itu, penceramah, Ustaz Ahmad Husam Badaruddin tampil mengesahkan bahawa ulama yang tular itu adalah sememangnya Datuk Afifi Al Kitti tetapi keberadaannya dalam kelab malam adalah atas faktor berdakwah.

"Setelah kami selidik, gambar itu adalah gambar program yang dilakukan oleh beliau dan pasukannya. Saya difahamkan oleh sumber yang rapat dengan beliau.

"Masuk ke kelab malam di luar negara, mengedarkan risalah-risalah dakwah, risalah Islam. Dan yang turut bersama beliau ialah isterinya. Bila sampai negara yang bukan Islam, penduduk yang majoritinya bukan Islam bergambar untuk aktiviti itu. Dikerat dalam posisi tertentu dan diviralkan. Akhirnya ramai orang yang memaki, menghina dan memfitnah beliau," katanya dalam sebuah kiriman video di Facebooknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram