Penerbangan sulung haji 31 Mei ini — Idris


  • Primer
  • Khamis, 05 Mei 2022

Kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini adalah 14,306 orang. — Agensi

PENERBANGAN pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah dijadualkan pada 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, segala persiapan bagi urusan itu berjalan lancar dan pihaknya sedang menunggu jemaah menjawab surat tawaran yang dihantar Lembaga Tabung Haji (TH) pada 24 April lalu.

"Jemaah yang menerima tawaran itu hendaklah membuat persiapan seperti menyediakan pasport antarabangsa, lengkap vaksin dan mempunyai kesihatan yang baik," katanya dalam sidang media pada Rumah Terbuka Sempena Aidilfitri 2022 di Kampung Sungai Petai, Bukit Gantang, Perak pada Khamis.

Kuota jemaah haji Malaysia tahun ini adalah 14,306 orang.

Idris berkata, jumlah jemaah yang akan menyertai penerbangan pertama dan terakhir sedang dibuat penjadualan semula oleh TH.

Katanya, perkara itu diserahkan kepada kebijaksanaan TH untuk diuruskan.

"Pihak TH sedang menunggu mungkin ada jemaah yang menolak tawaran dan TH akan memberikan keutamaan kepada jemaah lain," katanya.

Beliau mengakui pengurusan haji tahun ini agak mencabar namun yakin TH mempunyai pengalaman dan keupayaan mengendalikannya.

Mengenai rayuan kuota haji, Idris berkata, surat rayuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk diserahkan kepada Raja Salman Abdulaziz dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa agama untuk membuat siasatan mengenai kes tokoh agama didakwa berjoget di kelab malam.

"Saya tidak berani komen kerana benda itu tak pasti. Biar pihak berkuasa siasat," katanya ketika diminta mengulas klip video yang kononnya memaparkan seorang tokoh agama dan penasihat sultan sedang berhibur di sebuah kelab malam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Idris Ahmad, jemaah haji, TH, kuota,