TAHUN lalu, vokalis kumpulan terkenal 90-an, Nizam Laksamana memaklumkan yang isterinya mengalami kanser payudara dan perkara itu diakuinya sebagai detik yang sukar dan banyak memberinya pengajaran dalam kehidupan.
Menurut Nizam, menjaga seorang isteri yang mempunyai sakit kanser adalah sesuatu yang sangat mencabar dirinya apatah lagi dia sebelum ini seorang manusia yang tidak sabar.
"Apa yang berlaku ini saya anggap sebagai anugerah daripada ALLAH untuk mengajar saya erti bersabar. Daripada anak-anak kecil sampai dah besar, saya tak ambil tahu pun. Saya beri duit dan dia yang uruskan semua.
"Sepanjang dia dirawat dia marah saya macam-macam. Ketika itu emosinya memang terganggu. Saya tahan sebab saya fikir ini adalah dosa saya yang saya kena tebus.
"Sebab itu saya bersabar dan jaga dia sepenuh masa. Tidak ada buat kerja lain. Menjaga dia adalah satu amanah buat saya," katanya kepada Majoriti.
Nizam Laksamana menjaga isterinya sepenuh masa ketika menjalani rawatan kanser.
Bercerita mengenai fasa pemulihan isterinya, Nizam berkata, pernah satu ketika dia sama-sama membotakkan kepala bersama isterinya.
"Bila menjalani kemoterapi, sakitnya memang tak boleh bayang. Duduk sakit, baring sakit, berdiri sakit. Rambut pun ketika itu menjadi gugur.
"Sampai satu ketika saya buat keputusan untuk membotakkan kepala isteri dan saya sendiri turut membotakkan kepala untuk memberi semangat kepada dia," katanya.
Ujarnya Nizam, dia bersyukur kerana isterinya kuat semangat untuk melawan kanser sehinggalah disahkan pulih kini.
Tambahnya, dia bersyukur kerana di sebalik kesulitan yang dihadapinya mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih baik dalam kehidupan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram