SAMBUTAN lebaran tanpa orang tersayang di sisi pastinya memberi kesan yang mendalam kepada setiap individu terutamanya apabila insan tersebut telah pergi buat selamanya.
Bagi pelukis, Mohd Zawawi Zaid, walaupun isterinya telah meninggalkannya genap tiga tahun akibat menderita penyakit leukemia tetapi keberadaannya ketika sambutan Aidilfitri masih dirindui sehingga kini.
Bukan satu perkara yang mudah buat lelaki berumur 51 tahun ini untuk menerima hakikat bahawa isterinya tidak lagi menemaninya menyambut lebaran bersama anak-anaknya.
"Arwah isteri pergi tiga minggu sebelum raya tahun 2019. Masa itu kami anak beranak beraya di rumah mak saya di Cheras, sangat-sangat sedih dan sunyi masa tu. Kemudian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun raya kami biasa-biasa saja," katanya.
Bercerita mengenai juadah raya, Zawawi berkata, dia terlalu merindui rendang Minang air tangan arwah isterinya yang tidak dapat lagi dinikmati pada sambutan Aidilfitri.
"Masakan arwah yang paling saya suka adalah rendang Minang. Pernah makan saudara arwah masak, tapi lainlah. Tiada siapa yang boleh ganti rasa masakan rendangnya itu," kata ayah kepada 3 anak yang berusia 21 hingga 13 tahun itu kepada Majoriti.
Menurut Zawawi, dirinya tidak dapat melupakan kenangan apabila dia dan arwah isteri melakukan pelbagai aktiviti untuk memeriahkan sambutan hari raya mereka sekeluarga.
"Semasa hayat arwah, kami sentiasa bersama dengan anak-anak, walau ke mana saja pergi. Sekalipun lepak minum di kedai.
"Selalunya tiap kali raya, yang paling saya rindukan adalah pergi bercuti atau meneroka negeri-negeri orang dan bawa keluarga melihat kehidupan masyarakat setempat, macam mana cara orang-orang kampung beraya. Paling seronok bercuti dengan keluarga," kongsinya.
Malahan, kata Zawawi, sehingga kini dia masih menyimpan sampul raya yang dibuat khusus untuk Allahyarham dan sampul itu sudah menjangkau 22 tahun namun masih sahaja kelihatan cantik seperti dahulu.
Karya Zawawi pada sampul raya memaparkan wajah beliau dan Allahyarham isteri.
Pelukis yang mula aktif pada 1989 itu menjadi tular di media sosial Facebook ekoran karya yang dihasilkannya sangat meruntun jiwa iaitu perkongsian detik-detik terakhir isterinya sebelum meninggal dunia.
Berkongsi cerita, lelaki yang pernah bekerja di Studio Kluang Man itu berkata, sebanyak 200 lukisan telah dihasilkannya dan kesemua karya itu berkisarkan kisah kekeluarganya termasuk detik terakhir bersama arwah isteri.
"Hanya tujuh bulan saja dia menghidap leukemia dan dirawat dihospital. Saya jaga dia siang, malam dan tidur di hospital hingga akhir hayatnya. Sejak malam pertama arwah isteri saya meninggal dunia, saya terus menulis sambil melukis kisahnya hingga kini.
"Ada lebih 200 keping lukisan begini dan saya tuliskan setiap lukisan tentang kisahnya. Bukan setakat cerita dia sakit, tapi lebih kepada kekeluargaan kami, kasih sayang antara keluarga kami.
"Saya dapat kekuatan melukis semua itu kerana teringatkan akhlak dan keperibadian arwah isteri yang sangat sempurna. Perginya pun dalam bulan Ramadan," katanya.
Sebelum Allahyarham isterinya meninggal pada 6 Ramadan bersamaan 11 Mei 2019, Zawawi akan mengambil kesempatan membawa anak-anaknya untuk melawat ibu mereka di Hospital Ampang setiap hujung minggu.
Karya Zawawi yang menceritakan situasi di mana doktor memberitahu keadaan kesihatan isterinya.
Apa yang membuat pelukis itu kagum dan merindui Allahyarham isterinya adalah keperibadian dan akhlak isterinya yang sangat disenangi masyarakat.
"Arwah seorang yang taat pada ALLAH, pada suami dan mentua. Rajin bersedekah sekalipun dia sendiri yang sempit. Rajin baca Quran, setiap kali Ramadan dia akan khatam Quran. Semasa terlantar sakit di hospital pun dia tetap menunaikan solat. Dia amat disenangi semua.
"Saya nak bukukan kisah-kisahnya, ramai peminatnya yang ikuti kisahnya harap saya dapat terbitkan buku berilustrasi mengenainya, kata mereka sangat-sangat terinspirasi. Tapi saya belum ada modal lagi untuk terbitkan buku kisahnya.
Zawawi (kiri) bersama arwah isteri dan anaknya.
Meraikan Aidilfitri bersama tiga anaknya dan isteri baharunya di Jerantut, Pahang, katanya, mereka merancang menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Kuala Lumpur.
"Sebelum PKP dulu setiap pagi Jumaat saya akan ziarah kubur arwah dan baca Yasin, tapi sejak PKP, saya tak ziarah dah. Setiap malam Jumaat kami sekeluarga sedekahkan bacaan Yasin dari rumah.
Tidak menyangka perkongsian mengenai isterinya di Facebooknya mendapat perhatian umum, Zawawi berasa terharu dengan komen-komen positif yang diberikan warganet. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram