Antara amalan sunnah dan budaya sambutan 1 Syawal


  • Mukmin
  • Isnin, 02 Mei 2022

Antara sunnah yang dituntut dalam Islam adalah menunai solat sunat Aidilfitri.

SAMBUTAN Syawal pada kali ini pasti ditunggu-tunggu umat Islam di Malaysia kerana selepas dua tahun meraikannya ala kadar disebabkan pandemik Covid-19.

Kebiasaannya adat dan budaya di Malaysia pasti menyambut Syawal dengan memulakan takbir dari rumah ke rumah pada malam raya, membuat rumah terbuka, kunjung-mengunjung sanak-saudara, menziarahi kubur serta pelbagai lagi.

Amalan yang dilakukan oleh rakyat di Malaysia itu sebenarnya boleh dilaksanakan dalam Islam walaupun tidak dituntut namun dengan syarat ianya tidak melanggar hukum syarak yang ditetapkan disisi agama.

takbir

Amalan orang Islam di Malaysia ialah melakukan takbir raya rumah ke rumah.

Pendakwah selebriti, Imam Muda Asyraf berkata, Islam tidak menolak amalan budaya dan perkara itu tidak akan hilang walaupun ianya adalah perayaan syariat seperti Aidilfitri yang merupakan tuntutan ibadah.

"Jadi kalau budaya kita makan ketupat ke kunjung mengunjung ke, walaupun dalam Islam tidak disebut kunjung mengunjung ketika raya ataupun ada budaya kita ini ziarah kubur pada raya, benda itu bukanlah sesuatu yang disuruh.

"Selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariah, ia boleh dilakukan. Sebagai contoh kunjung-mengunjung untuk eratkan silaturrahim boleh dilakukan dalam Islam," katanya kepada Majoriti.

Malah, Asyraf turut menyarankan untuk menghidupkan perkara-perkara sunat ketika Hari Raya seperti melakukan takbir raya tanpa henti dan budaya di Malaysia yang melakukan perkara itu dari rumah-rumah juga boleh dilakukan dalam Islam.

Selepas itu, antara sunnah Nabi juga adalah mandi terlebih dahulu, berjalan kaki ke masjid jika dekat, makan sebelum solat Aidilfitri, solat sunat Hari Raya dan memakai pakaian indah untuk menzahirkan kegembiraan menyambut perayaan itu selepas sebulan berpuasa.

Namun, juara program Imam Muda musim pertama itu menegur budaya di Malaysia ketika sambutan Syawal yang disifatkan agak berlebihan iaitu bersalam-salaman dengan bukan mahram, membazir ketika rumah terbuka dan segelintir kaum Hawa yang berada di rumah ketika Hari Raya pertama.

"Budaya kita orang perempuan duduk rumah kadang-kadang atas sebab nak masak. Sunnah Nabi perempuan pergi juga masjid walaupun tak solat. Jika haid orang perempuan duduk dalam kereta atau luar masjid atas tujuan untuk dengar khutbah dan aminkan doa dari Khatib. Itu nabi suruh tapi kadang-kadang kita terlepas.

"Budaya kita ada open house namun kena jaga-jaga. Jangan berebut-rebut seakan bertanding siapa yang paling mewah. Selepas itu, membazir itu dielakkan," jelasnya.

kubur

Ziarah kubur tidak disunatkan tetapi tidak sehingga hukumnya haram.

Menyentuh soal budaya ziarah ke kubur pada Aidilfitri, Asyraf berkata, perkara itu tidak disunatkan kerana Hari Raya adalah hari bergembiran bukannya meratapi kesedihan.

"Hari raya hari bergembira. Tidak disunatkan pada hari raya untuk berkunjung ke kubur. Cuma kita faham ada yang balik kampung setahun sekali jadi silakanlah ziarah. Tidaklah jatuh haram cumanya kena faham raya adalah hari menggembirakan. Jika itu saja masa yang kita ada untuk mennziarah, jadi diharuskan," katanya.

Semoga Syawal kali ini semua umat Islam berpeluang meraikan bersama orang tersayang dan melakukan sunnah-sunnah Nabi yang dituntut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram