"Pelik juga bila mak buat rendang dan ketupat sedangkan waktu itu bukan pada hari raya pun, dia saja nak buat dan itulah kali terakhir kami dapat rasa juadah Aidilfitri daripada mak".
Itu yang dikongsikan penyanyi, Ezad Lazim ketika ditanya berkenaan dengan sambutan Aidilfitri yang mungkin meriah bagi orang lain, tetapi sedikit hiba buat dirinya.
Menurut Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim berkata, dia pada mulanya memang pelik bila arwah ibunya tiba-tiba memasak juadah yang cukup sinonim dengan sambutan Aidilfitri.
"Memang pelik sebab masa itu bukan hari raya pun. Tapi bila mak dah buat, kita makanlah. Saya siap bungkus bawa balik ke Kuala Lumpur lagi.
Ezad Lazim bersama arwah adiknya.
"Tetapi pada tahun itu juga arwah mak meninggal dunia dan bila kenang balik, itulah ketupat dan rendang yang terakhir saya dapat nikmati.
"Sebelum meninggal dunia, dia boleh buat makanan itu untuk kami. Memang tak sangka," katanya kepada Majoriti.
Kehilangan ayah, ibu dan adik selang setahun menurut Ezad membuatkan sambutan Aidilfitri bersama adik beradik yang lain sedikit suram.
Ezad kehilangan ayahnya, Mohd Lazim Ismail, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 6 Ogos 2019.
Kemudian pada 7 Ogos 2020, ibunya pula Rosadah Jahaya, 69, meninggal dunia di rumah mereka di Taman Wira, Mergong, Alor Setar, Kedah.
Arwah ibunya rebah dalam bilik air ketika mahu mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Subuh.
Ezad sekali lagi diuji pada apabila adiknya, Mohd Rizal Mohamad Lazim, 35, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru- paru pada 21 September 2021.
Ezad Lazim bersama arwah bapanya.
"Memang sambutan Aidilfitri tahun ini agak suram walaupun kami adik beradik dah boleh berkumpul sebab rumah dah kosong.
"Sebelum ini memang arwah ayah, emak dan adik tinggal sekali. Tetapi semuanya dah pergi dan rumah itu kini sudah kosong dan dijaga oleh kakak.
"Memang itulah kelainan Aidilfitri kali ini. Kalau sebelum ini biasa balik raya akan berbincang nak masak menu apa dan sebagainya tapi tahun ini memang dah tiadalah benda itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram