Pemilik ikuti fesyen semasa si bulus, tidak lokek berbelanja untuk bergaya


  • Hobi
  • Selasa, 03 Mei 2022

Si bulus kelihatan 'anggun' apabila mengenakan baju kebaya pada pagi Aidilfitri.

BUSANA baharu untuk menyambut Aidilfitri merupakan satu kemestian bagi memeriahkan lagi hari kemenangan selepas sebulan umat Islam berpuasa.

Tidak mengira usia muda atau tua, semuanya akan bergaya sakan dengan baju raya baharu mengikut tema warna pilihan bersama keluarga atau pasangan masing-masing.

Bagi pencinta kucing, si bulus mereka juga tidak ketinggalan untuk menyambut lebaran bersama-sama tuannya.

Haiwan peliharaan itu akan digayakan dengan pakaian raya lengkap, sama ada berbaju Melayu dengan samping dan songkok atau baju kurung serta gaun.

Ini sekali gus menjadikan pakaian raya kucing sebagai salah satu item yang perlu disenaraikan dalam keperluan raya tahunan.

IMG-20210509-WA0022

Nur Raihan bergambar bersama salah seekor kucing kesayangannya.

Seorang pencinta kucing, Nur Raihan Afiqah Tom Wira, 28, memberitahu, dia tidak ketinggalan untuk menyiapkan busana hari raya buat kucingnya tersayang.

Nur Raihan memiliki tiga ekor kucing; dua di kampung halaman, Ipoh, Perak, manakala seekor lagi tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.

Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, dia sentiasa mengambil tahu keluaran terkini pakaian kucing terutama koleksi-koleksi raya untuk disarungkan buat kucingnya.

Meskipun pemakaian baju raya hanya untuk seketika, Nur Raihan tetap gemar mendandan si comel yang dimilikinya.

"Saya akan sentiasa melihat trend terkini pakaian-pakaian kucing. Seperti baju manusia, pakaian kucing juga mempunyai beberapa koleksi dan ada keluaran baharu dengan gaya-gaya yang terkini. Jika ada yang menarik saya pasti akan terus membelinya untuk si bulu tersayang.

"Kucing saya sudah seperti ahli keluarga. Memandangkan saya tinggal jauh daripada keluarga, kucinglah yang menjadi peneman ketika dirumah selain rakan-rakan," kongsinya yang juga merupakan usahawan atas talian bagi kelengkapan bilik tidur, @lenadiulitmimpi.

template (40)

Antara busana si bulus milik Nur Raihan.

Tambahnya lagi, pembelian pakaian kucing dilihat bukan satu pembaziran seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Apatah lagi, katanya, dia sendiri tidak mengeluarkan wang terlalu banyak untuk persiapan raya kucingnya.

Hal ini kerana kebanyakan pakaian kucing dijual pada harga tidak lebih daripada RM100 untuk satu set pakaian.

Harga pakaian kucing melambung jika ada rekaan khas

Screenshot 2022-04-29 054802

Nuryusrina bergambar bersama koleksi baju kebaya dan gaun untuk kucing.

Sementara itu, pengasas perniagaan pakaian kucing @bella_felidae, Nuryusrina Mat Yusof berkata, meskipun terdapat pelbagai jenis fesyen dan gaya, pakaian kucing selalunya dijual dengan harga berpatutan.

Namun, harganya akan melambung sekiranya ia merupakan rekaaan khas dengan perincian tersendiri.

Gadis berusia 27 tahun yang berasal dari Rawang, Selangor itu berkata, ramai antara pelanggannya tidak kisah untuk membeli pakaian buat haiwan peliharaan mereka tidak kira sama ada untuk sambutan Aidilfitri atau hari-hari biasa.

“Pakaian kucing dan haiwan peliharaan mempunyai pasaran tersendiri dan ia juga mempunyai permintaan yang tinggi terutama dalam kalangan pencinta haiwan. Permintaan yang tinggi tentunya semasa musim-musim perayaan seperti Aidilfitri.

template (42)

Antara koleksi busana hari raya untuk kucing betina termasuk baju kurung, gaun dan baju kebaya.

“Pakaian kucing juga ada koleksi tersendiri dengan pelbagai pilihan aneka warna. Trend dan warna juga penting dalam penjualan pakaian kucing kerana ia adalah tarikan untuk menarik pembeli yang ingin menggayakan si comel mereka,” katanya yang juga memiliki sembilan ekor kucing.

Dia yang memulakan perniagaan sejak 2016 itu berkata, apabila tiba musim perayaan dan ditambah pula permintaan yang tinggi, hasil jualannya boleh mencecah sehingga RM10,000.

Meskipun tahun ini negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19, jualan baju raya kucing masih mendapat permintaan, malah dia juga telah menjual lebih 200 pasang pakaian kucing setakat ini.

template (43)

Si bulus kekal bergaya dengan koleksi baju Melayu berserta songkok.

Selain di Malaysia, perniagaan pakaian kucing Nuryusrina turut mendapat perhatian pelanggan di negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Dia juga mempunyai ramai pelanggan tetap yang tidak pernah ketinggalan untuk memiliki setiap koleksi baharu dan terkini yang dijual olehnya.

Selain menjual pakaian kucing, Nuryusrina juga terlibat dalam usaha membantu kucing teraniaya atau memerlukan dengan kaedah mendapatkan bantuan atau memuat naik hantaran di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kucing, busana, Aidilfitri, fesyen, si comel, si bulus