BERMULA dengan hanya memelihara empat ekor ikan laga liar jenis Betta Imbellis yang ditangkap di belakang rumahnya pada enam tahun lepas, seorang jurukimpal, Azhar Basri kini menjadikan hobi itu sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menyara keluarganya.
Azhar, 32, antara 105 usahawan yang menjual produk mereka di Khemah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra baru-baru ini.
Beliau yang menjadikan tingkat bawah rumahnya di Seriab, Kangar, Perlis sebagai tempat membiak ikan laga dan mendaftar perniagaannya itu dengan nama ‘Betta Bawah Rumah’.
"Alhamdulillah hasil jualan di AKM amat memberangsangkan apabila saya berjaya menjual 30 hingga 40 ekor ikan laga sehari sejak gerai mula dibuka pada Jumaat lepas,” katanya.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, beliau hanya menjual ikan laga gred sederhana di Khemah IKS itu kerana kebanyakan pengunjung bukan daripada peminat tegar ikan berkenaan dan hanya baru ingin berjinak memeliharanya.
"Di sini saya hanya bawa ikan laga yang dijual pada harga serendah RM5 manakala mereka yang berminat untuk membeli ikan laga berkualiti tinggi biasanya akan datang sendiri ke rumah saya bagi memilih ikan,” katanya.
Azhar berkata, memandangkan kebanyakan pelanggan masih baharu dengan hobi itu, beliau akan menerangkan cara penjagaan ikan laga kepada mereka.
Menurut Azhar, setiap ikan laga mempunyai keunikan tersendiri dan harga dijual bergantung kepada kombinasi warna, jantina, bentuk badan dan sirip.
Katanya antara ikan laga yang dijual ialah jenis Betta Galaxy Multicolor, Betta Halfmoon Plakat, Betta Smaragdina Cooper dan Betta Super Red.
Beliau juga pernah menjual ikan laga jenis Betta Alien dengan harga RM700 seekor dua tahun lepas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram