PENGASAS Amazon, Jeff Bezos dan pengasas Microsoft, Bill Gates merupakan antara manusia terkaya di dunia namun mereka berkongsi rutin yang sama.
Kedua-duanya mengakui gemar membasuh pinggan mereka sendiri tanpa khidmat pembantu rumah.
"Saya membasuh pinggan setiap hari. Saya yakin itu adalah perkara paling seksi yang saya lakukan," kata Bezos dalam satu temuramah seperti dipetik oleh Business Insider.
Gates juga pernah menyatakan perkara yang sama sebelum itu. Malahan, beliau mengaku sangat seronok melakukan rutin tersebut dan bukannya dibuat atas dasar paksaan.
"Saya mencuci pinggan setiap malam. Orang lain akan melakukan secara sukarela tetapi saya suka melakukannya mengikut cara saya," ujarnya.
Banyak impak positif boleh dirasakan dengan mencuci pinggan. — Facebook
Menurut kajian Florida State University, membasuh pinggan adalah salah satu aktiviti yang mampu meningkatkan kreativiti dan membuatkan seseorang berasa tenang.
Tambah kajian tersebut, pelajar yang mencuci pinggan berjaya mengurangkan tahap tekanan mereka dan mencetuskan inspirasi.
Malahan, sentuhan terhadap air dan bau sabun mampu merangsang otak.
"Pelajar yang fokus mencuci pinggan seperti menghidu bau sabun, merasai suhu air dan menyentuh pinggan atau gelas dengan sepenuh perhatian, meningkatkan inspirasi mereka banyak 25 peratus atau mengurangkan kegugupan sebanyak 27 peratus.
"Sementara itu, mereka yang sambil lewa mencuci pinggan tidak akan mendapat sebarang manfaat daripada aktiviti itu.
"Secara jelasnya, aktiviti harian jika dilakukan dengan niat dan sepenuh hati boleh meningkatkan tahap fokus," menurut kajian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram