Aliff Iskandar pernah lari rumah pada malam raya


  • Hiburan
  • Isnin, 02 Mei 2022

Aliff Iskandar sudah menyediakan kejutan istimewa buat keluarganya di Kelantan sempena Aidilfitri.

BILA sebut sahaja Aidilfitri, pasti semua yang menyambutnya mempunyai kenangan yang tidak dapat dilupakan sama ada manis mahupun pahit.

Begitu juga kisahnya dengan penyanyi baharu, Aliff Iskandar yang memberitahu dia pernah melarikan diri dari rumah pada malam raya.

Menceritakan detik tersebut, kata Aliff, ketika itu dia berumur 12 tahun dan kejadian berlaku ketika pukul 12 tengah malam.

"Masa itu kami sedang bermain bola bersama dengan abang di perkarangan rumah. Nak dijadikan cerita, bola yang sepak terkena tingkap rumah sehingga pecah.

"Masa itu ayah pun keluar dari rumah dengan memegang kasut. Memang dia tengah marah sebab malam itu malam raya, lepas itu tingkap cermin pecah pula," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-04-30 at 6.07.08 AM

Aliff beraya bersama keluarganya di Kelantan pada tahun ini.

Menurut Aliff, ayahnya kemudian bertindak mengejar dia dan abangnya sehinggakan dia lari ke rumah neneknya.

Katanya, mujur rumah neneknya berada berdekatan dengan rumahnya dan dia membuat keputusan untuk terus bermalam di rumah tersebut.

"Masa itu memang saya takut dengan ayah. Pagi raya barulah saya balik rumah tapi ketika itu memang tak bercakaplah," katanya tertawa mengenang tragedi tersebut.

Menyambut lebaran di Kelantan pada tahun ini sebagai seorang selebriti, jelas Aliff, dia ada perancangan untuk membuat sedikit kejutan kepada keluarganya.

"Alhamdulillah, ada rezeki sedikit lepas menjadi penyanyi dan saya ambil kesempatan itu untuk buat kejutan dengan memberi hadiah kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram