"RAMADAN kali ini saya rasa macam baru masuk Islam."
Itu luahan penyanyi dan pencipta lagu, Asfan Shah ketika ditanya mengenai pengalaman Ramadannya tahun ini apatah lagi tampil dengan imej yang lebih Islamik berbanding sebelum ini.
Menurut Asfan, selama 38 tahun dia hidup, tahun ini yang dirasakannya cukup dekat dengan ALLAH berbanding sebelum ini.
"Kalau sebelum ini, kebanyakan bulan Ramadan akan saya isi dengan berniaga dan itu menyebabkan ibadah saya sedikit terganggu.
"Kalau nak solat terawih dahulu memang 'ke laut'. Manakala solat fardu pula memang susah nak dapat di awal waktu," katanya kepada Majoriti.
Asfan Shah bersama rakan-rakan jemaah yang lain ketika menghadiri majlis agama.
Disebabkan itu kata Asfan, tahun ini dia memilih untuk menghabiskan waktu Ramadan dengan menghadiri apa sahaja majlis agama yang ada.
"Asalkan majlis itu adalah majlis agama. Saya akan turut serta. Kalau solat pun saya akan pastikan diri saya dapat menunggu sebelum masuk waktu.
"Alhamdulillah, saya cuba terapkan kehidupan itu sekarang dan bersyukur sangat dapat usahakan perkara ini," katanya.
Menurut Asfan, buat masa ini dia lebih banyak meluangkan masa untuk kenal diri sendiri dan kenal balik Islam itu.
Ditanya mengenai trend artis sekarang yang banyak mendekatkan diri dengan agama, jelas Asfan, dia menganggap itu adalah satu benda yang bagus.
"Kalau benda itu bagus, kita teruskan sahajalah. Macam saya, bila duduk dengan jemaah baru saya belajar kesilapan diri saya sendiri.
"Saya juga tidak menghakimi orang lain. Hubungan saya dengan kawan-kawan lain masih sama seperti sebelum ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram