Tiga cedera, rumah dan sekolah terjejas akibat kebakaran stor mercun polis di Sentul


  • 112
  • Selasa, 26 Apr 2022

Parameswaran memberitahu kejadian tersebut turut menjejaskan beberapa rumah dan sebuah sekolah Sikh di sekitar stor tersebut.

AHLI Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran, berkongsi bahawa punca kebakaran di kemudahan penyimpanan barang bukti polis Sentul, Kuala Lumpur berpunca daripada mercun sita yang disimpan dalam stor berkenaan.

Menurut beliau, kejadian yang berlaku pada pukul 6.15 petang, Selasa itu turut menjejaskan beberapa rumah dan sebuah sekolah Sikh di sekitar stor tersebut.

"Dengan hati yang berat saya ingin memaklum mengenai kebakaran yang berlaku di Stor Simpanan Polis di Sentul pada jam 6.15 petang tadi. Letupan berlaku punca daripada mercun sita yang disimpan dalam stor.

"Beberapa rumah dan sebuah sekolah Sikh di sekitar stor telah terkesan dalam kebakaran dan letupan yang mengakibatkan kerosakan siling dan cermin rumah," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Tambahnya lagi, insiden itu turut mencederakan tiga orang mangsa.

Jelasnya lagi, beliau turut berterima kasih dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas usaha untuk mengawal kebakaran dan situasi di lokasi kejadian.

"Semua mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Terima kasih kepada pihak Bomba dan Polis yang bertungkus lumus mengawal kebakaran dan situasi disana," ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam satu kenyataan pada Selasa memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.22 petang, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur, Ahmad Daniel Ahmad Kamal, kebakaran melibatkan 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka yang menjejaskan 50 buah kenderaan.

Beliau turut mengesahkan terdapat tiga orang mangsa lelaki dewasa yang mengalami kecederaan ringan.

"Terdapat tiga orang mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba pada pukul 7.04 petang. Punca kebakaran masih dalam siasatan," kongsinya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram