PELAWAK, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 36, memaklumkan yang ibunya, Ngaisah Hasaan, 74, telah meninggal dunia kira-kira pukul 12.46 tengah malam pada Isnin.
Difahamkan, arwah ibunya meninggal dunia akibat kanser pankreas dan baru sahaja menjalani pembedahan baru-baru ini.
Malah, berita pemergian ibunya juga diketaui Achey ketika dia sedang mengadakan rakaman program raya yang dikendalikan Zizan Razak dan Scha Alyahya.
"Ya Allah. Permudahkan perjalanan mak di sana. Kami reda ya Allah. Saya atas motosikal lagi, baru balik dari kerja. Mak baik. Mak pergi di bulan yang baik (Ramadan).
"Semoga mak jalani waktu yang terindah. Al-Fatihah," katanya di akaun Instagram miliknya.
Achey sebelum ini ada memberitahu yang keadaan ibunya tidaklah begitu baik selepas menjalani pembedahan.
Malah, dia juga berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor setiap minggu untuk menjaga arwah.
Untuk rekod, pada Jun tahun lalu, Ngaisah pernah dimasukkan ke wad berpunca daripada masalah saluran pankreas yang juga dikatakan penyakit jarang dijumpai hingga menyebabkan berat badannya susut lebih 20 kilogram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram