KES pembunuhan antara dua beradik yang berlaku di Batu Ampar, Kramat Jati, Jakarta Timur, Indonesia berpunca daripada perebutan motosikal.
Mangsa bernama Bambang Febrianto, 38, dibunuh oleh adiknya sendiri Danang, 19, kerana dikatakan terlalu lama menggunakan kenderaan itu.
Ketua Rukun Tetangga Batu Ampar, Abdul Aziz berkata, pembunuhan itu berlaku di rumah mangsa pada pagi Rabu sekitar pukul 3.30 pagi semasa waktu sahur.
"Mangsa ini anak pertama, manakala pelakunya anak bongsu. Ketika kejadian di dalam rumah hanya ada ibu mereka dan wanita tersebut terselamat," kata Abdul Aziz seperti dipetik portal Antara.
Tambah Abdul Aziz, berdasarkan maklumat keluarga mangsa, kejadian bermula apabila Danang yang baru tiba di rumah pada waktu sahur ditegur Bambang kerana dikatakan terlalu lama meminjam motosikal dan lambat memulangkannya seperti yang dijanjikan.
"Maklumat dari keluarga pun macam tu. Mungkin masa dah lewat, abang dia perlu (guna motor) sedangkan adiknya tak tunaikan janji apabila dia pulangkan lewat," katanya.
Menurutnya, kedua-dua beradik itu kemudian bertengkar dan Danang tiba-tiba mencederakan abangnya menggunakan pisau dapur hingga mengakibatkan mangsa mengalami pendarahan yang sangat banyak.
Berdasarkan maklumat penduduk, Abdul Aziz berkata, pisau dapur yang digunakan untuk menikam Bambang itu disyaki pisau yang sering dibawa Danang ketika keluar rumah.
Bambang dilaporkan meninggal dunia di rumah akibat kejadian itu kerana tidak sempat dibawa ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan segera.
Danang kemudian ditahan pihak polis Kramat Jati untuk siasatan lanjut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram