SEPANJANG bulan Ramadan kali ini, penyanyi, Hazama memilih untuk memberi fokus pada penjualan laksa yang diusahakan bersama isterinya, Genervie Kam.
Menurut Hazama, perniagaan laksa yang diusahakan tahun ini adalah kesinambungan pada perniagaan yang diusahakan tahun lalu.
"Sebenarnya tahun lepas kami dah berniaga laksa masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebab kita pun tiada sebarang aktiviti seni.
"Alhamdulillah, tahun lepas kami banyak permintaan tapi kami membuat laksa mengikut permintaan sahaja.
"Cuma tahun ini kami kembangkan sedikit dengan berniaga di bazar Ramadan di Hartamas dan setiap hari kami sediakan 100 pek laksa," katanya kepada Majoriti.
Menurut Hazama, laksa itu adalah resipi turun temurun daripada keluarga isterinya dan buat masa ini, hanya Genervie yang membuatnya seorang diri.
Ujarnya, Genervie memang cukup bersemangat untuk berniaga dan dia sebagai suami menyokong apa sahaja kehendak isteri.
"Saya tiada masalah untuk terlibat dengan dunia perniagaan sebab memang saya sejak dulu lagi dah terlibat dengan dunia makanan.
"Saya tahu buat perniagaan makanan memang letih tapi isteri memang bersungguh-sungguh nak buat.
"Lagipun laksa yang kami buat ini memang jenis Cina. Jarang nak dapat makan laksa resipi orang Cina sebab itu dapat sambutan yang baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram