MENJALANI ibadah puasa pada bulan Ramadan pada tahun 2012 memberi kisah berbeza buat atlet dari Qatar, Noor Al-Malki kerana dituntut menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim dan pada masa sama membuat penampilan di temasya Olimpik London 2012.
Matlamat untuk memecahkan rekod peribadi adalah cita-cita Noor Al-Malki di temasya Sukan Olimpik itu. Ketika itu, dia baru berusia 17 tahun dan menjadi antara peserta Olimpik termuda pada zamannya.
Namun perkara itu seakan sukar buat Noor Al-Malki kerana Olimpik pada tahun itu jatuh pada bulan Ramadan yang mulia.
Umat Islam di seluruh dunia harus berpuasa bermula Subuh hingga Maghrib selama 30 hari berturut-turut pada bulan Ramadan. Bagi Noor Al-Malki dan 3,500 atlet Islam lain, mereka pada masa sama perlu bersaing untuk negara masing-masing.
Dilema itu dirasai hampir semua atlet Islam yang bertanding di Sukan Olimpik, walaupun Islam bertolak ansur dengan orang yang tidak berpuasa ketika melakukan perjalanan jauh dan sakit.
Noor Al-Malki gagal mencecah garisan penamat dalam acara 100 meter itu akibat kecederaan hamstring. — Agensi
"Hal ini sukar, lagi-lagi bulan Ramadan. Kita harus menghormati Ramadan. Tapi saya ingin membuat rekod nasional baru. Kalau ia (puasa) mengganggu, saya tidak akan meneruskan puasa Ramadan," kata Noor Al-Malki seperti dipetik The New York Times.
Malangnya Noor Al-Malki gagal mencecah garisan penamat dalam acara 100 meter (m) itu akibat kecederaan hamstring. Dia terjatuh ketika berlari sejauh 10m.
Pun begitu, dia mengaku tidak patah semangat walaupun gagal berjaya sampai ke garisan penamat.
"Tidak mengapa. Penyertaan (di London) adalah perkara paling penting dan saya hanya perlu memberikan yang terbaik walaupun ada tekanan semasa latihan kerana kami perlu bekerja keras untuk berada di tempat yang kami mahukan," katanya.
Beliau mendedahkan kegagalan menamatkan saingan dalam acara itu tiada kaitan dengan keputusan berpuasa semasa kejohanan itu. Menurutnya, puasa adalah soal akidah sebagai seorang Muslim.
"Saya akan terus berpuasa walaupun ada halangan. Saya akan berbincang dengan jurulatih dan jururawat untuk memutuskan apa yang patut saya lakukan pada bulan Ramadan ini," katanya.
Kegagalan Noor Al-Malki menamatkan saingan dalam acara 100m pada Olimpik Londok 2012 tiada kaitan keputusan berpuasa semasa kejohanan itu. — Agensi
Anak kepada pesara polis dan guru itu mengakui mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya apabila memilih untuk menjadi atlet. Dia dan 11 adik-beradiknya menjadikan keluarga sebagai motivasi mereka untuk terus melakar pencapaian di trek.
"Mereka mendoakan saya, mereka yang menyokong saya untuk berlatih. Mereka memberi kami harapan dan keyakinan untuk menghilangkan rasa takut," katanya.
Noor Al-Malki menjadi atlet wanita pertama Qatar dalam bidang olahraga. Pelari pecut berketinggian 152 sentimeter dan memiliki berat 45 kilogram itu diharap menjadi tonggak sejarah Qatar dalam bidang olahraga.
Dia yang kini berusia 27 tahun menjadikan profesion sebagai atlet untuk mengejar impian dalam memecah tradisi agar lebih ramai golongan wanita meneruskan impian sebagai atlet profesional. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram