Cef Ammar terpaksa tutup kedai, dakwa disihir ketika Ramadan


  • Tular
  • Isnin, 18 Apr 2022

Tangkap layar video luahan Cef Ammar mengenai cawangan kedainya di USJ4 telah disihir.

NAMA Cef Ammar kerap dibincangkan pada Ramadan kali ini oleh para warganet di media sosial dari isu harga nasi beriani 'lamb shank' yang dikatakan mahal sehinggalah kepada masalah orang beratur terlalu lama bagi merasai air tangannya.

Terbaharu, pada Ahad tular satu video berdurasi satu minit 55 saat yang dimuat naik di media sosial TikTok peribadinya berkaitan salah satu kedainya terpaksa ditutup kerana ada yang busuk hati menghantar sihir ke premisnya itu.

Dalam video berkenaan, pemilik kedai nasi Arab itu memaklumkan yang kedainya di USJ4, Subang Jaya, Selangor terpaksa ditutup kerana perbuatan sihir dan dia mengambil langkah berkenaan adalah untuk menjaga keselamatan keluarga.

Rakaman video TikTok Cef Ammar berhubung dakwaan kedainya di USJ4 yang disihir pihak tidak bertanggung jawab.

"Apabila benda begini jadi, saya kena tutup. Saya tidak nak keluarga saya kena. Saya percaya rezeki sudah ditetapkan oleh ALLAH SWT. Biarlah orang yang buat sihir itu berdosa. Kita kena terima apa yang ALLAH bagi kita, reda.

"Saya nak anak saya selamat. Sekarang dia kerja di Shah Alam semangat, seronok tapi sekarang lemah. Tadi sampai tiga orang tidak kerja. Dulu tidak begini," ujarnya.

Difahamkan, Cef Ammar berkata, sebelum mengetahui apa yang berlaku adalah perbuatan sihir, tiba-tiba sahaja pelanggan di cawangannya itu itu berkurangan dan anaknya juga seakan tidak bersemangat untuk bekerja.

Oleh itu, dia mengambil inisiatif untuk menelefon ustaz untuk berkongsi masalahnya sebelum diberitahu bahawa ada yang melakukan sihir kepada perniagaannya itu.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan kekecewaan mereka dengan segelintir masyarakat yang masih menggunakan cara kotor untuk menjatuhkan perniagaan orang lain dan ada juga yang berkongsi pengalaman yang sama.

"Ada lagi syaitan yang tidak ikat bulan puasa ni, pantang tengok orang lebih sikit mula nak dengki. Bingung sudah mana satu syaitan sebenar ini," kata ariyangrande_.

"Dulu ada seorang pakcik ni meninggal depan saya sebab dah bed ridden untuk lima tahun oleh kerana sihir semasa dia berniaga di cafe universiti. Siapa yang pelaku sihir ni, aku harap suatu hari nanti kau kena baliklah. C****a punya manusia," ujar ahmadoukenobi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram