Mayat penyelam remaja Belanda belum ditemui, Indonesia henti Op Carilamat


  • 112
  • Isnin, 18 Apr 2022

Anggota Maritim Malaysia ketika melakukan Op Carilamat di kawasan perairan Malaysia sebelum ini.

BADAN Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia menghentikan Op Carilamat mengesan penyelam warga Belanda, Nathen Renze Chesters pada 7 malam Ahad.

Remaja berusia 14 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas empat hari hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor dan disyaki hanyut ke perairan Indonesia.

Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, Pusat Operasi BASARNAS Tanjung Pinang mengumumkan operasi ditamatkan secara rasmi kira-kira pukul 7 malam Ahad, berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.

"Operasi pencarian di sektor perairan Indonesia telah dijalankan selama tujuh hari bermula 10 April lalu.

"Maritim Malaysia juga memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda tentang laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Screenshot 2022-04-18 142706

Nathen Renze (bawah, kanan) dikatakan meninggal dunia akibat terlalu lemah. — Bernama

Pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing, Johor.

Jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam, oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi, 7 April.

Sementara itu, warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46, dan rakyat Perancis Alexia Alexandra Molina, 18, pula ditemukan selamat oleh nelayan tempatan pada kira-kira 1 pagi, 9 April.

Namun, Nathen Renze disahkan meninggal dunia berdasarkan kenyataan Adrian Peter berhubung status anak lelakinya itu akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.

Tambah Khairul Nizam, operasi oleh pihak berkuasa Indonesia itu melibatkan kapal dari Tentera Nasional Indonesia (TNI), Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA), Polis Perairan Indonesia (POLAIR) dan BASARNAS.

"Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi berkenaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram