Cecah 25 tahun dalam industri, Eden Firdaus realisasikan impian Ahmad Idham memberi kepada masyarakat


  • Hiburan
  • Rabu, 13 Apr 2022

Ahmad Idham bersama keluarga dan anak-anaknya.

SELAMA 25 tahun dalam industri seni, siapa yang tidak kenal dengan pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Malah, lakonannya dalam drama Cinderella sebagai hero pada tahun 1998 bersama dengan Haliza Misbun masih kekal dalam ingatan sehingga kini.

Selama tempoh itu juga, Ahmad Idham mengakui sokongan peminat dan masyarakat yang membuatkan dia kekal dalam industri seni.

"Jadi saya rasa kini dah tiba masanya untuk saya memberi semula kepada masyarakat tetapi melalui cara apa?

"Bila lihat sekeliling, saya memiliki seorang anak istimewa dan saya juga mempunyai tadika yang ditubuhkan sejak 14 tahun yang memberi fokus kepada pendidikan khas buat kanak-kanak istimewa.

"Sebab itu saya rasa lebih elok saya sebarkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan untuk golongan istimewa ini, lebih-lebih lagi pengetahuan tentang perkara ini masih rendah dalam kalangan masyarakat," katanya kepada Majoriti.

a9c20f7a-ae10-456c-97f0-5fc43d1a0b13

Ahmad Idham bersama anaknya, Ahmad Firdaus yang juga merupakan golongan istimewa.

Menurut Ahmad Idham, buat masa ini menerusi Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus miliknya dia akan bekerjasama dengan Tadika Sinar Indah berkat.

Menerusi kerjasama itu, dia mahu mempertingkatkan lagi pembangunan dan kesedaran terhadap ilmu pendidikan khas kepada golongan anak istimewa di sekitar Ampang.

"Antara yang akan disediakan menerusi kerjasama ini adalah Tadika Sinar Indah Berkat sebagai tadika pertama di kawasan Ampang yang menyediakan khidmat pendidikan khas.

"Kita juga menyediakan khidmat saringan percuma bagi membantu ibubapa mendapatkan pra diagnosis tentang kelewatan anak dari segi akademik," katanya.

Menurut Ahmad Idham lagi, mereka juga akan mewujudkan program sokongan bersama ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak istimewa.

Selain itu katanya, mereka juga akan menyediakan latihan kepada guru-guru untuk mendalami ilmu pengajaran khas kepada kanak-kanak istimewa.

"Saya juga akan mula menziarah keluarga yang berada di sekitar Ampang, Selangor untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan saya," katanya.

Ahmad Idham berharap usahanya ini tidak hanya memberi fokus kepada komuniti di sekitar Ampang sahaja sebaliknya mahu berterusan sehingga ke seluruh negara.

Untuk rekod, anak sulung Ahmad Idham, Ahmad Firdaus Ahmad Idham, 21, merupakan anak istimewa kerana mengalami kesukaran berjalan dan bertutur selepas diserang penyakit dalam otak ketika berusia dua tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram