ISU buku rekod kesihatan pesakit menjadi tumpuan warganet selepas seorang pengguna Twitter, GeegeeAhmad membangkitkan isu penyimpanan rekod pesakit di Hospital Melaka yang masih menggunakan cara tradisional iaitu penggunaan buku.
Pengguna itu turut meluahkan rasa kecewa kerana asyik ditanya soalan sama oleh doktor seperti 'sejarah penyakit' walaupun sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital berkenaan.
"Apa masalah la Hospital Melaka ni, rekod kesihatan pesakit masih pakai hard copy, langsung tak direkodkan dalam sistem ke apa. Setiap kali admitted, mesti tanya sejarah sakit. Bila tukar shift, doktor lain pula tanya soalan sama. Kenapa begini. Dah 2022 kot," dakwanya.
Membalas dakwaan itu, pengguna Twitter, syamsuddin berkata, pengulangan soalan yang sama seperti sejarah penyakit adalah penting bagi memastikan tiada sebarang kesilapan berlaku dan isu keciciran maklumat juga boleh dielakkan.
Tangkap layar bebenang dari pengguna Twitter, syamsuddin.
Menurutnya, terdapat pesakit yang sering bertukar tempat rawatan, oleh itu soalan yang sama sering ditanya bagi menilai pesakit dengan teliti.
"Ada pesakit yang temujanji dengan hospital setiap tiga bulan, tapi dalam tempoh tiga bulan tu, ada kemungkinan dia terima rawatan di hospital lain, klinik swasta dan sebagainya. Pesakit perlu dinilai dengan teliti. Jika ada doktor lain yang dah ubah pelan rawatan, kami perlu tahu untuk kebaikan pesakit juga.
'"Contoh compliance (kepatuhan) adalah kita bagi ubat tiga kali sehari, betul tak pesakit makan tiga kali sehari? Betul tak dos yang pesakit makan? Jarak masa betul tak? Ikut arahan sebelum atau selepas makan tak? Ramai pesakit yang ubah dos sendiri tanpa maklum doktor," katanya.
Melalui kaedah bertanya kepada pesakit juga, doktor dapat mengetahui keberkesanan ubat dan kesan sampingannya terhadap pesakit yang mana pelan rawatan susulan seterusnya dapat dirancang.
"Secara peribadi, saya suka untuk mengingatkan pesakit mengingat nama ubat-ubat mengikut nama sebenar. Bukan hanya sekadar tahu 'ini ubat kencing manis, ini ubat darah tinggi. Pil bulat-bulat. Teknologi ada, boleh tulis siap-siap dalam nota dan simpan dalam telefon.
"Jika pesakit warga emas, lebih bagus sekiranya ahli keluarga terdekat yang menjaga pesakit ambil cakna ubatan pesakit. Sebab bila terlalu banyak ubat, susah untuk mereka ingat. Anak-anak bantulah mereka. Ambil tahu. Penting. Jangan bergantung pada sistem komputer," katanya.
Syamsuddin merangkumkan meskipun sistem manual atau komputer digunakan, para doktor masih akan bertanya kepada pesakit soalan yang sama kerana perkara itu adalah demi kebaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram