SEPANJANG dua tahun umat Islam tidak merasai untuk solat di masjid dan surau ekoran penularan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, tahun ini semua nikmat yang umat Islam tunggu-tunggu iaitu mengimarahkan masjid dengan solat jemaah dan pastinya Tarawih bersama-sama di bulan Ramadan kembali selepas pengumuman fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.
Malah peralihan endemik juga membenarkan kanak-kanak untuk ke rumah ALLAH itu dan pastinya ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan Ramadan kali ini untuk membawa anak-anak mereka ke masjid.
Umum sedia maklum sifat kanak-kanak akan dipenuhi dengan gelak tawa, lari sana sini apabila ke masjid namun terdapat juga segelintir jemaah dewasa yang kurang senang dengan kemeriahan berkenaan.
Hasil semakan Majoriti beberapa pengguna media sosial meluah rasa kurang senang dengan jemaah masjid yang seakan melarang kanak-kanak untuk datang ke rumah ibdadat berkenaan bertindak memarahi mereka.
"Budak berlari dalam masjid, bermain sana sini, habis mereka dimarahi. Katanya mengganggu orang solat. Tak tahu adab! Siapa yang tidak ada adab sebenarnya? Adakah memarahi kanak-kanak bermain dalam masjid benar-benar mengikuti sunnah Nabi SAW atau sebaliknya." luahan Akhi Fairuz Al-Jengkawi.
Mengulas perkara itu, Mufti Pahang, Prof Adjung Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman berkata, orang dewasa sepatutnya menegur dengan cara baik kanak-kanak itu, bukannya memarahi mereka.
Abd Rahman berkata, orang dewasa sepatutnya menegur kanak-kanak dengan cara baik.
Menurutnya, Rasulullah SAW mengajar seseorang Muslim itu untuk kasihankan kanak-kanak dan agama Islam sendiri menggalakkan membawa mereka ke masjid.
"Budak-budak ni kita sepatutnya latih mereka ke masjid dan bukannya marah atau sergah dia. Kita layanlah mereka. Tegur dengan cara baik dibolehkan tetapi jangan tegur dengan cara yang salah seperi marah sehingga menyebabkan budak-budak tidak suka. Ia tidak disuruh oleh agama.
"Kita jangan sergah, kita kena kasihan dengan budak-budak. Kita hormat mereka. Rasulullah beritahu begitu caranya. Zaman ini bukan zaman nak sergah orang. Yang muda perlu dikasihani, yang tua perlu dihormati. Begitu caranya," katanya kepada Majoriti.
Sehubungan dengan itu, Abd Rahman berkata, orang-orang dewasa sepatutnya mengalu-alukan dan mengajak kanak-kanak ke masjid kerana jika dilatih dari kecil ia akan membantu membentuk peribadi yang baik.
Tambahnya, ibu bapa boleh memanfaatkan bulan Ramadan untuk melatih anak-anak ke masjid kerana dari latihan sejak kecillah akan menanam benih cintakan rumah ALLAH dalam diri seseorang Muslim itu.
"Untuk melatih, bapa perlu bawa anak-anak itu ke masjid kerana dari situlah budak-budak ini jadi baik. Orang-orang yang selalu ke masjid akan dapat perlindungan di hari akhirat. Sebab itu disuruh ke masjid.
"Orang yang ke masjid ini dapat pemeliharaan ALLAH. Ada orang dia sihat tubuh badan iaitu tak reput dan ada yang kain kapan tak reput. Semua itu salah satu kebaikan ke masjid. Orang tak tahu benda ni. Kalaulah semua budak-budak datang ke masjid, jadi baik masyrakat kita," katanya.
Oleh itu, di bulan Ramadan yang mulia janganlah kita memarahi kanak-kanak yang berada di masjid tetapi cuba untuk mengalu-alukan kedatangan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram