MERIAH pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan depan apabila tiga selebriti tanah air menyertai senarai yang akan bertanding untuk merebut jawatan yang akan dipertandingkan.
Pelakon dan penerbit, Hans Isaac dan penyanyi Altimet, dijangka bersaing merebut jawatan ketua bahagian PKR Ampang manakala pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki turut bertanding bagi jawatan ketua bahagian Setiawangsa.
Ramai pengguna media sosial mempersoalkan kredibiliti mereka sebagai anak seni yang terjun dalam bidang politik dan mereka juga berasa risau jika pengundi hanya mengundi selebriti berkenaan kerana populariti.
Antara warganet yang mempersoalkan tiga selebriti berkenaan terjun ke dalam dunia politik.
Namun bagi pengguna media sosial Danial Al Rashid, penglibatan kumpulan seni dalam pemilihan parti merupakan suatu perkembangan besar buat lanskap politik Malaysia dan ia memberikan mesej bahawa sesiapa pun bebas untuk bertanding serta memilih pemimpin mereka.
"Semua rakyat Malaysia mempunyai hak di dalam demokrasi berparlimen di Malaysia. Sebelum ini, kita hanya menyaksikan artis seni melontarkan mesej di dalam medan drama dan filem sahaja. Jarang kita lihat mereka memberikan pandangan terbuka kepada masyarakat.
"Kalau dulu, sebut sedikit kritikan, habis periuk nasi diganggu. Kini tidak lagi, media dan masyarakat lebih terbuka, dan kerajaan juga tidak mengganggu mana-mana pandangan yang dilontarkan.
"Akhirnya, pentas Arena Panggang bukanlah satu-satunya medan untuk mereka 'berlagak' seperti membahas seperti ahli parlimen," ujarnya.
Malah, rakyat pun kini sudah boleh menerima karya lagu, drama dan filem yang memasukkan unsur-unsur politik dan kritikan sosial.
Tambahnya, dengan kehadiran tiga selebriti berkenaan dalam pentas politik Malaysia pasti negara boleh melahirkan Arnold Schwarzenegger, Ronald Reagen, Clint Eastwood dan artis antarabangsa lain yang berjaya bergelar sebagai ahli politik.
"Saya percaya, pengarah filem dan pelakon sebelum ini bertungkus lumus mendalami watak dan menghayati cerita lebih lagi yang mengisahkan kehidupan sebenar rakyat. Maka dengan menjadi ahli politik, mereka juga akan mengambil pendekatan yang sama.
"Melihat semula lirik lagu Amboi dari Altimet, banyak yang boleh kita kaitkan dengan kehidupan kita. Itulah seni!," katanya.
Hans mengumumkan menyertai PKR pada 2020 manakala Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dan Afdlin menyertai parti itu tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram