Haiza terkejut, ada peniaga jual air katira hingga RM25 sebotol


  • Hiburan
  • Selasa, 12 Apr 2022

Haiza berharap pihak sepatutnya dapat bertindak ke semua peringkat untuk mengekang kenaikan harga barang.

JIKA dilihat respons di media sosial, ramai yang merungut dengan harga jualan di bazar Ramadan yang didakwa meningkat berbanding sebelum ini.

Antara alasan yang diberikan adalah disebabkan kenaikan harga barang yang membuatkan peniaga terpaksa meningkatkan harga jualan mereka.

Penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi juga mengakui dia banyak menerima panggilan daripada pendengar berkenaan dengan harga makanan yang meningkat.

"Memang banyak panggilan yang saya terima yang ingin berkongsi mengenai kenainkan harga makanan di bazar Ramadan.

"Malah, ada pemanggil yang berkongsi dia telah membeli sebotol air katira 1.5 liter dengan harga mencecah RM25," katanya kepada Majoriti.

file7khjsrwidfcckqhbbg2

Ramai pengunjung bazar Ramadan yang terkejut dengan kenaikan harga jualan makanan tahun ini. — Bernama

Namun menurut Haiza, soal harga ini tidak boleh disalahkan terus kepada penjual kerana ada bermacam kemungkinan yang menyebabkan harga jualan itu meningkat.

Jelasnya, peningkatan harga daripada pembekal juga boleh menjadi punca dan sebelum ini pun ada yang bising berkenaan dengan kenaikan harga ayam.

"Sebagai contoh harga ayam, penjual itu beli daripada pembekal dengan harga yang tinggi jadi takkan dia nak jual pada harga modal.

"Mestilah harga kena dinaikkan sedikit. Jadi dalam hal ini agensi berkaitan memang perlu ambil tindakan segera bukan sekadar melibatkan peniaga sahaja.

"Sebaliknya siasat sehingga ke pembekal dan lain-lain peringkat supaya dapat berlaku adil kepada semua pihak," katanya.

Tambah Haiza lagi, memasuki fasa endemik, ramai yang baru nak memulakan kehidupan baharu dan jika ada bebanan seperti kenaikan harga barang mungkin akan menyukarkan mereka lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram