Jovian akhirnya buka mulut isu pelitup muka 'hauk'


  • Bizz
  • Isnin, 11 Apr 2022

Tangkap layar rakaman tular menunjukkan tali pelitup muka jenama Jovian putus ketika sesi live bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza. — Facebook

PEREKA fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie tampil memberikan penjelasan berhubung kenyataannya mengenai isu pelitup muka 'hauk' dalam satu videonya yang tular baru-baru ini.

Menurut beliau, kenyataan dikeluarkan bukan mahu memperkecilkan jenama pelitup muka lain yang berada di pasaran, sebaliknya ditujukan kepada pelitup muka tiruan jenamanya yang dipasarkan secara berleluasa.

“Banyak salah faham, apa yang saya maksudkan tu ialah pelitup muka 'Jovian Mask Tiruan' yang berleluasa di pasaran. Tak ada niat saya nak memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka lain di pasaran.

“Lebih dua tahun Jovian Mask tiruan berada di pasaran mengambil kesempatan guna design, monogram, gambar promosi, nama dan logo kami untuk kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyifatkan bahawa istilah ‘hauk’ digunakan itu sesuai untuk digunakan terhadap produk tiruan yang dakwanya didalangi oleh ‘mafia’.

“Saya rasa sesuailah saya gunakan istilah hauk itu pada mereka ini. Ini semua kerja mafia! Tapi, kalau ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tak ada niat hendak guris hati anda,” katanya.

Mengulas mengenai isu keperluan untuk pelitup muka mendapatkan kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Jovian berkata, perkara itu berlaku bukan disebabkan permintaan atau atas faktor keuntungan syarikatnya.

FYI, once the law imposed it will incur most cost to us as sellers (Untuk pengetahuan anda, apabila undang-undang dilaksanakan, yang akan menanggung kos paling tinggi ialah kami sebagai penjual).

“Dari mana pulak saya akan untung lebih? And I can guarantee you all that my brand is not the first to have SIRIM stamp (Saya boleh memberi jaminan kepada anda semua bahawa jenama saya bukanlah yang pertama mempunyai cop SIRIM).

“Banyak jenama di luar yang sudah ada cop SIRIM. Kita ini baru hendak mohon,” katanya lagi.

Kerajaan pada Khamis lalu mengumumkan, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan akan ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah tersebut diambil bagi memberi peluang kepada industri dan pengguna untuk membuat penyesuaian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram