Puasa pertama di Mekah, ini doa Adi Putra


  • Hiburan
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Adi Putra akan kembali semula ke Mekah seminggu sebelum Aidilfitri.

MELUANGKAN masa selama seminggu di Mekah termasuk menunaikan puasa pertama di tanah suci itu, pelakon, Datuk Adi Putra mengakui banyak perbezaan yang dirasakan berbanding sebelum ini.

Dua tahun tidak menjejakkan kaki ke tanah suci, Adiputra yang ke sana bersama agensi umrah miliknya berkata, beberapa tetapan baharu yang perlu dilakukan jemaah memberi sedikit kelainan.

"Secara keseluruhannya tidak banyak yang berbeza cuma ada beberapa peraturan yang kita perlu patuh semasa menunaikan ibadah.

"Selain daripada itu, kemeriahan di sana masih lagi sama terutamanya menjelang Ramadan yang pertama," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-04-08 at 9.24.24 PM

Adi Putra bersama isterinya ketika menunaikan umrah baru-baru ini.

Menurut Adi, seminggu berada di sana bersama isteri tercinta, dia sempat bersama dengan agensinya menjamu jemaah berbuka puasa di sana.

Jelasnya, dia bersyukur kerana selepas dua tahun pintu sempadan ditutup, dia masih berpeluang untuk menunaikan umrah dan berada di tanah suci itu.

"Sebab itu bila ada yang tanya saya apa yang ingin saya lakukan bila berada di sini, satu sahaja yang ingin saya lakukan.

"Perkara itu adalah untuk berdoa supaya mereka yang tidak berpeluang untuk hadir ke tanah suci diberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke sini.

"Ketika dunia dilanda Covid-19, pintu sempadan ditutup dan ramai yang tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sini. Itu sesuatu yang sangat membuatkan saya terasa," katanya.

Dalam pada itu, Adi yang baru pulang dari Mekah pada Rabu berkata, dia akan pergi lagi ke tanah suci pada penghujung Ramadan nanti.

"Insya-ALLAH seminggu sebelum Aidilfitri saya akan ke sana lagi tetapi kali ini tidak membawa isteri.

"Saya akan pulang semula sehari sebelum kita menyambut Aidilfitri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiburan, adi putra, pelakon, datuk, mekah, tanah suci, doa, umrah