BAGI yang biasa meluangkan masa di aplikasi TikTok, pasti cukup kenal dengan lagu Mungkin Hari Ini Esok Atau Nanti yang menjadi trending walaupun lagu itu sudah diperdengarkan sejak dua tahun yang lalu.
Disebabkan itu juga, pelantun lagu itu yang berasal dari Indonesia, Anneth tidak menjangka yang kemunculan semula lagu itu memberikannya peluang untuk bekerjasama dengan idolanya, Ade Govina.
Menurut Anneth, ketika ditawarkan untuk menyanyi lagu Masih Belum Lupa yang dicipta sepenuhnya oleh Ade, dia tidak menunggu masa yang lama itu menyatakan persetujuannya.
"Saya memang sudah lama mengagumi karya-karya Ade seperti Tanpa Batas Waktu yang memang sangat hebat. Tapi saya tidak menyangka akhirnya berpeluang untuk berkolaborasi dengannya dalam sebuah projek.
"Dari awal sebelum masuk ke studio untuk proses rakaman, Ade memberi peluang kepada saya untuk mendengar dan menghayati lagu itu terlebih dulu. Sebaik memperdengarkan lagu itu, saya akui ia sebuah karya yang sangat bagus, tapi sesi rakaman sangat mencabar.
"Proses rakaman berlangsung sehingga ke malam kerana banyak penambah baikkan perlu dilakukan dari sudut vokal, dan ini bagi saya adalah lagu paling susah pernah saya nyanyikan," kata Anneth dalam satu sidang media secara maya pada Khamis.
Anneth tidak menjangka akan berpeluang bekerjsama dengan idolanya, Ade.
Malah kata Anneth, dia juga diminta oleh Ade untuk mengikuti kelas tarian kerana ingin menampilkan kelainan pada muzik video lagunya.
Walaupun tidak pernah mempunyai asas dalam dunia tarian, Anneth berkata, dia menganggap permintaan Ade itu sebagai satu daripada cabaran buat dirinya untuk keluar dari zon selesa.
Sementara itu, Ade pula berkata, sewaktu dia mencipta lagu ini kira-kira dua tahun yang lalu, memang dia sudah memikirkan untuk memilih Anneth sebagai penyanyi.
"Sewaktu proses membuat lagu Masih Belum Lupa saya merasakan hanya Anneth yang bersesuaian untuk membawakan lagu itu, kerana bagi saya dia seorang penyanyi yang sangat istimewa kerana mampu menyanyi dan bikin lagu.
"Tidak ramai penyanyi yang mampu menulis lagu, selain kualiti vokal dimiliki Anneth yang pada saya berada pada kelasnya yang tersendiri," katanya.
Tambah Ade lagi, dia juga memberi peluang kepada Anneth untuk mengubah lagu tersebut jika perlu kerana percaya dengan kemampuan penyanyi muda itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram