SEORANG ibu dan dua pasangan kembarnya ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila mulut ketiga-tiga mereka berbuih, dipercayai membunuh diri di Jalan Antara Pasar Empat Setengah, Kelurahan Lubuk Pakam III, Kecamatan Lubuk Pakam, Kabupaten Deli Serdang, Indonesia.
Ketika ditemui, ketiga-tiga mayat terbaring berdekatan antara satu sama lain.
Mangsa dikenali sebagai Saragih, 38, yang merupakan seorang guru sekolah menengah manakala pasangan kembarnya berusia empat tahun.
Menurut seorang penduduk tempatan, Ulfa, 32, ibu kepada Saragih sering melawat rumahnya namun ketika hari kejadian, ibu mangsa tidak dapat memasuki kediaman tersebut kerana dikunci dari dalam.
Ibu mangsa menggunakan kunci pendua untuk memasuki rumah berkenaan selain dibantu oleh penduduk setempat.
Ibu mangsa kemudiannya memanggil nama Saragih namun tidak berjawab.
Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, ibu mangsa kemudian memanggil penduduk setempat untuk memecah pintu salah sebuah bilik di rumah tersebut.
"Ketika kesemua mayat ditemui, suami kepada mangsa tiada di rumah kerana sedang bekerja," ujar Ulfa.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Polis Deli Serdang, Irsan Sinuhaji S.I.K MH mengesahkan motif kejadian adalah bunuh diri.
"Tiada kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa. Kesemua mayat dibawa ke Hospital Bayangkara Medan untuk bedah siasat.
"Selain itu, kes ini masih berada dalam siasatan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram