BARU kehilangan isteri tercinta akibat Covid-19 pada Ogos tahun lalu, pelakon dan pelawak, Shuib mengakui masih terasa kehilangan apatah lagi ketika memasuki bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurut Shuib, kehadiran Syawal pada tahun ini akan disambut secara sederhana sahaja apatah lagi ini adalah Aidilfitrinya yang pertama tanpa arwah Siti Sarah di sisi.
"Untuk raya kali ini saya rasa kami anak beranak akan menyambutnya secara sederhana dan cukuplah sekadar meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.
"Malah, persiapan untuk Aidilfitri pun saya masih tidak buat apa-apa lagi. Kalau ada pun lebih tertumpu kepada anak-anak sahaja," katanya kepada Majoriti.
Shuib kini meluangkan masa bersama anak-anaknya untuk berpuasa di kampung halamannya di Johor.
Bapa kepada empat orang anak ini berkata, tahun ini dia lebih menekankan kepada anak-anak supaya melakukan ibadah berpuasa secara penuh.
"Tahun lalu ada juga mereka tidak berpuasa selama satu atau dua hari. Jadi pada tahun ini kalau boleh saya mahu mereka berpuasa penuh selama sebulan.
"Ramadan kali ini pun saya bawa anak-anak pulang ke kampung untuk merasai ibadah berpuasa kerana di kampung suasananya lebih meriah," katanya Shuib yang kini bersama anak-anak di kampung halamannya di Johor.
Untuk rekod, arwah Siti Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raissuddin, menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas dijangkiti Covid-19.
Arwah sebelum itu juga terpaksa ditidurkan untuk proses pembedahan melahirkan anak dalam kandungan yang berusia tujuh bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram