Memang berkisar kerinduan tapi bukan pasal kisah cinta silam — Wani Kayrie


  • Hiburan
  • Khamis, 07 Apr 2022

Wani memaklumkan yang lagu baharunya bukan berkisar mengenai kisah cinta peribadinya.

SEBELUM ini pun sudah ramai yang mengetahui bahawa pelakon dan penyanyi, Wani Kayrie sudah dikenali kerana bukan sahaja berbakat, tetapi juga bijak dalam pelajaran.

Namun bagi Wani atau nama sebenarnya Syazwani Maisarah Abdullah, segala apa yang diperolehnya kini bukanlah datang dengan sekelip mata tetapi bersama dengan usaha.

"Membuat dua kerja dalam satu masa yang sama bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita perlu memastikan semuanya berjalan supaya tidak ada yang tertinggal.

"Macam saya, belajar dan dalam masa yang sama perlu aktif dalam dunia seni. Jadi mahu atau tidak, saya perlu membawa iPad ke mana-mana sahaja.

"Kesibukan bekerja bukanlah alasan untuk tidak hadir ke kuliah dan saya akan cuba pastikan waktu siang digunakan untuk bekerja dan malam pula fokus kepada pembelajaran," katanya kepada Majoriti.

Kamukamucoverart1A

Single baharu berjudul Kamu Kamu yang dinyanyikan oleh Wani.

Dalam pada itu, tampil dengan single baharu berjudul Kamu Kamu, ada yang beranggapan bahawa lagu itu berkisar mengenai kisah percintaannya sebelum ini.

Namun, Wani tegas mengatakan bahawa lagu terbaharunya itu sedikit pun tidak mempunyai kaitan dengan kisah peribadinya.

"Memanglah lagu itu berkisar mengenai kerinduan terhadap seseorang tetapi memang tiada kaitan pun dengan saya.

"Kalau soal 'cinta lama' itu pun apa yang saya boleh beritahu yang kami masi berkawan, cuma tidaklah serapat dahulu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram