Bengang anak kandung disimbah air panas, bapa tekap anak tiri usia 8 tahun guna seterika


  • Benua
  • Khamis, 07 Apr 2022

Menurut polis, kejadian bermula apabila susupek bertanya kepada mangsa mengenai kesan luka di badan M iaitu anak kandungnya.

SEBILANGAN penduduk Desa Ragajaya, Bojonggede, Kabupaten Bogor, Indonesia menyerbu sebuah rumah sewa yang didakwa terdapat seorang kanak-kanak berhuruf awalan PR sedang dikurung ayah tirinya pada Ahad malam

Ia bermula apabila beberapa penduduk menerima maklumat daripada ibu kandung mangsa yang melaporkan kejadian itu.

Berdasarkan video yang tular, seorang penduduk yang berpakaian putih dengan kain sarung sedang memecahkan pintu menggunakan sebelah kakinya untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Sementara itu, dalam video itu juga menunjukkan beberapa penduduk lain memeriksa di sebalik tingkap untuk melihat sekitar kawasan itu. Malahan pintu rumah berkenaan juga dihempas oleh penduduk terlibat.

Sejurus sahaja penduduk menyerbu masuk, kelihatan seorang kanak-kanak berbaju merah tanpa seluar berdiri tegak dengan tangan dan kakinya diikat.

Budak lelaki itu memandang penduduk dengan pandangan kosong sambil mereka cuba menyelamatkannya

Ketua Unit Siasatan Jenayah (Polres) Polis Metro Depok, Yogen Heroes Baruno berkata, menyatakan dakwaan keganasan terhadap kanak-kanak itu terbongkar selepas penduduk dan Polis Bojonggede melakukan serbuan.

"Kami mendapat maklumat pada hari Ahad sekitar pukul 10 malam ada serbuan penduduk bersama-sama Polisi Bojonggede. Awalnya, ada seorang anak dikurung oleh ayahnya," kata Yogen kepada wartawan pada Selasa.

Dalam serbuan, polis menemui mangsa dalam keadaan kaki dan tangan terikat serta melecur di badan.

"Didapati keadaan kanak-kanak itu terikat dengan tangan dan kaki. Terdapat kesan luka seperti diseterika pada tangan kanan dan kaki kanan kanak-kanak itu," kata Yogen.

Kronologi penderaan anak tiri

Berdasarkan kenyataan suspek, kejadian bermula apabila suspek bertanya kepada mangsa mengenai kesan luka di badan M iaitu anak kandungnya.

Untuk makluman, M ialah anak kandung suspek hasil perkahwinan dengan ibu mangsa, manakala PR ialah anak tiri lelaki itu.

"Bapa tiri mangsa bertanya, 'mengapa anak kandungnya mengalami kecederaan?', kemudian mangsa mengaku telah menuang air panas ke atas M,” kata Yogen.

Mendengar perkara itu, suspek berasa marah dan tidak dapat menerima perlakuan mangsa.

Dia terus sahaja mendera mangsa dengan menekap seterika pada badannya dan mengikatnya.

"Sebab dia tidak terima anak kandungnya didera sebegitu oleh anak tirinya. Kemudian suspek menekap seterika elektrik pada tangan dan kaki mangsa," jelas Yogen..

Bagaimanapun, masih belum diketahui sama ada mangsa bertindak secara sengaja atau tidak untuk menuang air panas kepada anak kandung penjenayah itu.

Polis masih menunggu hasil pemeriksaan ke atas mangsa untuk mengesahkan kecederaan yang dialaminya selepas didera oleh suspek.

“Kami masih menunggu keputusan sama ada terdapat kecederaan lain berkaitan penderaan oleh bapa tirinya,” kata Yogen.

Mangsa kini di Ibu Pejabat Polis Metro Depok untuk dikendalikan Unit Perkhidmatan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA).

“Disebabkan mangsa kanak-kanak, kami bawa ke Polis Metro Depok untuk dikendalikan unit PPA,” kata Yogen.

Sementara itu, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Metro Depok dan didakwa mengikut Perkara 80 Akta Perlindungan Kanak-Kanak Nombor 35 Tahun 2014 dengan ancaman penjara lima tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram