POLIS menemukan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud di Seremban pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tulang berkenaan ditemui jam 11 pagi selepas suspek lelaki utama kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lalu dan seorang saksi perempuan telah dibawa menunjukkan lokasi terbabit.
Menurutnya, tulang berkenaan dijumpai dalam keadaan bertaburan dan telah ditutup dengan daun-daun kering dan pokok kecil kira-kira 10 meter dari lokasi asal mangsa dikatakan ditanam.
"Kita percaya tengkorak dan tulang geraham dan rangka ditemui ini adalah tulang kepada seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang dilaporkan hilang pada 28 Mac lalu.
"Namun ia masih dalam siasatan lanjut forensik dan patalogi untuk mengesahkan sama ada tulang ditemui milik manusia atau haiwan," katanya ketika ditemui lokasi pada Khamis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa kemungkinan telah ditanam di situ antara dua ke tiga bulan.
Bagaimanapun, tiada barang lain ditemui berhampiran lokasi terbabit.
"Polis percaya kes bunuh seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama dan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan telah hampir selesai. — Sinar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram