K-KOMM nafi wujud pautan semak kelayakan PerantiSiswa


  • Primer
  • Khamis, 07 Apr 2022

Sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan dalam Bajet 2021 di bawah PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menafikan kesahihan sebuah pautan laman web untuk memohon dan menyemak kelayakan PerantiSiswa yang tersebar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, K-KOMM menjelaskan pautan https://www.sistemguruonline.my/2022/04/permohonan-laptop-tablet-1.htm adalah laman web tidak rasmi dan ia tidak dikendalikan oleh kementerian itu.

“Sistem aplikasi permohonan sedang dibangunkan dan akan mula beroperasi mulai 15 April,” kata Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan hebahan yang tular di media sosial bertajuk "Terbaru: Permohonan bantuan komputer riba dan tablet dibuka pada 15 April ini!"

Carian pautan itu mendapati ia telah dipadamkan.

Mohammad menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai maklumat yang tular di media sosial dan sebaliknya menjadi warga digital yang bertanggungjawab dengan merujuk sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.

Sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan dalam Bajet 2021 di bawah PerantiSiswa Keluarga Malaysia untuk menyediakan tablet mudah alih kepada pelajar pengajian tinggi daripada kumpulan B40. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram