SELEPAS pulih daripada kanser limfoma pada penghujung tahun 2021, penyanyi, Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal mengakui dia begitu teringin untuk berkongsi kisah perjuangannya.
Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Diriku Tapak Sulaiman itu, dia mahu kisahnya menjadi inspirasi kepada pesakit kanser limfoma yang lain.
"Memang ada yang terfikir untuk kongsi kisah ini tetapi tidak sangka pula pihak WebTV Asia dan Playground Asia mahu bekerjasama dengan saya dan mengambil saya sebagai artis terbaharu mereka.
"Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana pihak WebTVAsia memberikan peluang untuk saya berkarya dan merealisasikan impian saya," katanya.
Untuk rekod, Elyana pada Disember tahun lalu memaklumkan yang dia sudah bebas daripada kanser limfoma yang dihidapinya sejak 11 tahun lalu.
Malah, Elyana berkata, kansernya itu sudah berada di tahap kronik dan dia sendiri tidak menjangka akan sembuh sepenuhnya.
Dalam pada itu, Elyana berkata, sudah lama dia ingin aktif di platform YouTube untuk berkongsi pengalamannya.
"Harapan saya untuk projek ini, dapat memberi manfaat bukan untuk diri saya dan ‘team’ sahaja, malah untuk semua yang pernah melalui pengalaman seperti saya.
"Mungkin saya dapat memberi semangat dan inspirasi keceriaan dalam hidup bukan sahaja di Malaysia, malah ke seluruh dunia. Saya percaya, ramai lagi insan di dunia ini yang memerlukan semangat ini untuk meneruskan hidup mereka," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia, Fred Chong pula berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan Elyana selama berbelas tahun berjuang sebagai bekas pesakit kanser limfoma tahap empat.
“Walaupun Elyana sudah beberapa tahun berehat, saya percaya Elyana masih mampu memeriahkan lagi industri hiburan dan boleh berkongsi inspirasinya ke seluruh pelosok dunia.
“Pihak kami juga percaya Elyana mampu menyuntik semangat dan inspirasi buat ramai lagi insan yang mempunyai nasib yang sama seperti beliau. WebTVAsia juga turut memainkan peranan penting dalam memartabatkan para creator seluruh Asia,” jelasnya.
WebTVAsia merupakan sebuah syarikat hiburan digital yang mempunyai lebih 3000 saluran YouTube seluruh Asia Tenggara (3 Diamond Button, lebih 100 Gold Button dan lebih 1000 Silver Button). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram