Cemburu punca YouTuber kerjakan teman wanita sampai mati di Teluk Kumbar


  • 112
  • Selasa, 05 Apr 2022

KES disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

POLIS menahan seorang YouTuber terkenal dan tiga rakannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang dilaporkan maut dipercayai akibat dipukul di sebuah kediaman di Teluk Kumbar, Balik Pulau, Pulau Pinang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Kamarul Rizal Jenal berkata, empat lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan sekitar Teluk Kumbar pada Ahad dan Selasa bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

"Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP) pada 10.39 malam Sabtu memaklumkan seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamarul Rizal berkata, mangsa yang merupakan teman wanita YouTuber berkenaan dan juga seorang YouTuber meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan di HPP.

“Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kekerasan atau objek tumpul. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif sebenar kejadian berlaku," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu media melaporkan, wanita itu mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul teman lelakinya sebelum mangsa meninggal dunia dan kejadian tersebut berlaku selepas pasangan kekasih tersebut bertengkar disyaki bermotifkan cemburu.

Mangsa dan teman lelakinya menumpang di rumah sewa rakan mereka sejak tiba di negeri ini 27 Mac lepas untuk video laman YouTube mereka. Difahamkan wanita itu berasal dari Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram