BULAN Ramadan akan melabuhkan tirai beberapa hari sahaja lagi dan pasti ada antara kita yang sudah sibuk membuat persiapan raya sehingga lupa akan malam Lailatulqadar.
Tidak terlambat lagi untuk umat muslim memperbanyakkan amalan ibadah di malam Lailatulqadar seperi solat Tarawih, membaca Al-Quran, banyak berzikir atau beristighfar, hingga melakukan iktikaf di masjid untuk mendapatkan keberkatannya.
Banyak berzikir atau beristighfar pada malam Lailatulqadar juga antara amalan yang dianjurkan.
Bukan itu sahaja, bersedekah juga menjadi salah satu amalan baik di malam Lailatulqadar yang banyak memberikan manfaat seperti pahala berlipat ganda seperti dijanjikan ALLAH SWT.
'Jika tiada duit bagaimana ingin bersedekah', pasti itu antara persoalan yang dilontarkan oleh segelintir daripada umat Islam kerana mereka sering beranggapan sedekah itu hanya berbentuk wang ringgit.
Mengulas persoalan orang ramai itu, pakar motivasi, Dr Azu Shahadan berkata, Islam itu indah dan tidak membebankan umatnya yang mana sedekah bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi skopnya sangat luas.
Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Hadid ayat 11 yang bermaksud: Siapakah yang mau meminjamkan kepada ALLAH pinjaman yang baik, maka ALLAH akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.
"Jangan takut untuk bersedekah kerana ALLAH itu Maha Kaya untuk memberikan atau menggantikan kita dengan sesuatu yang lebih banyak dari apa yang kita sedekahkan itu.
"Sebagai manusia kadang-kadang sudah lali dengan perkataan sedekah jadi ia menyebabkan susah untuk bersedekah dan akhirnya minda kita ini rasa dah malas nak deal dengan perkataan sedekah.
"Apa kata untuk Ramadan kali ini kita tukar perkataan sedekah menjadi pelaburan. Kita semua tahu pelaburan akan mendatangkan keuntungan. Jadi jom tukar perkataan sedekah kepada pelaburan jadi lebih banyak kita melabur, lebih banyak keuntungan," katanya pada program Aura Zayan yang bersiar di radio Zayan FM.
Menurutnya, jika seseorang itu tidak mempunyai harta untuk disedekahkan, insiatif lain seperti memberikan senyuman, masa, tenaga dan ilmu juga merupakan satu bentuk sedekah.
Bayangkan jika sedekah dilakukan di malam Lailatulqadar pasti akan jauh lebih banyak pahala dan berlimpah dari kebiasaannya.
Bahkan dikatakan bahawa sesiapa yang mengerjakan amal kebaikan seperti bersedekah di malam Lailatulqadar maka akan mendapatkan keutamaan lebih dari 1000 bulan atau setara dengan 83 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram