Nikki emosi ketika ganti arwah Siti Sarah


  • Hiburan
  • Jumaat, 01 Apr 2022

NIKKI Palikat tidak menunggu lama ketika diminta untuk menggantikan arwah Siti Sarah bagi menyanyikan lagu Sudah.

TERPAKSA menyanyikan lagu yang sepatutnya dinyanyikan oleh Allahyarham Siti Sarah ternyata memberi kesan yang mendalam buat Nikki Palikat.

Menceritakan semula detiknya menyanyikan lagu berjudul Sudah yang dicipta sepenuhnya oleh Naim Daniel, Nikki berkata, lagu itu sangat menjentik emosinya.

"Sebenarnya pelbagai emosi dirasakan saat kali pertama mendengarkan lagu ini. Ada sesuatu yang menarik perhatian tentang Sudah tatkala mendengarkan melodi dan bait-bait lirik yang menusuk ke dalam hati.

"Sebab itu saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju terlibat sama dalam projek ini. Terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya untuk membawakan lagu Sudah," katanya.

Tambahnya lagi, dia sudah pun menerima demo lagu ini ketika masih bersaing dalam Gegar Vaganza 2022.

Namun dek berapa kekangan termasuklah soal kesihatan yang mengganggu sebaik sahaja final GV8 berakhir, lagu ini tidak sempat disiapkan lebih awal seperti yang dijangka.

Menganggap ini begitu istimewa, Nikki bersyukur kerana dapat memberikan yang terbaik usai proses rakaman sehinggalah pembikinan video muzik (MV) dilangsaikan sepenuhnya bulan lalu.

Bercerita mengenai proses pembikinan MV pula, ada satu kejadian yang mana penggambaran terpaksa dihentikan seketika apabila Nikki mula menangis.

Jelasnya, perkara berkenaan berlaku secara spontan apabila bait-bait lirik sangat menusuk ke hatinya dan membuatkan air mata jatuh berlinang.

"Lirik pada bahagian korus itu sangat menusuk ke dalam hati. Tak tahu mengapa, tiba-tiba sahaja saya berasakan perkara itu.

"Apabila kita faham dengan apa yang dimaksudkan, itu juga menjadi sebab mengapa saya menangis ketika penggambaran berlangsung," katanya.

Tambah Nikki, hubungannya dengan arwah sebelum ini memang rapat dan disebabkan itu juga dia sangat terasa ketika membawakan lagu Sudah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram