Polis dedah motif lelaki 70 tahun dipukul sampai mati di Jalan Pasar Pudu


  • 112
  • Khamis, 31 Mac 2022

SUSPEK wanita warga asing yang diberkas berumur antara 45 tahun hingga 49 tahun.

DUA wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh melibatkan seorang warga emas di Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu diberkas pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek yang diberkas berumur antara 45 tahun hingga 49 tahun.

Menurutnya, pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada sebuah hospital di Kuala Lumpur memaklumkan mengenai seorang lelaki berumur 70 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Lelaki itu, katanya turut mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dada sebelum dimasukkan ke dalam wad bagi pemeriksaan lanjut.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.55 petang Rabu.

"Siasatan mendapati mangsa ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di kaki lima sebuah premis di Jalan Pasar Pudu.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa sebelum itu telah dipukul," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan dijalankan membawa kepada penangkapan dua suspek wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Siasatan awal mendapati motif pembunuhan itu ialah cemburu. Hubungan suspek dengan mangsa juga sedang disiasat," katanya.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram