Bazar Ramadan: Peniaga desak bebas pilih lokasi tahun ini


  • Massa
  • Sabtu, 02 Apr 2022

RAMAI peniaga bazar Ramadan mengakui terkesan dengan pandemik Covid-19 terutamanya melibatkan keuntungan jualan. — The Star

SETELAH dua tahun tidak merasakan suasana bazar Ramadan seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda, nampaknya tahun ini mungkin ada sedikit sinar kemeriahan terutamanya bagi peniaga dan pembeli.

Pengumuman kerajaan berkenaan dengan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April memberi nafas lega kerana sedikit kebebasan mula diberikan tetapi masih diminta untuk patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.

Namun di sebalik kemeriahan itu, masih ramai dalam kalangan peniaga yang berharap supaya sedikit pelepasan juga diberikan kepada peniaga bazar Ramadan di ibu kota kali ini untuk mereka menjalankan perniagaan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Seorang daripada peniaga bazar Ramadan di Setiawangsa, Mohd Khairil Hafiz berkata, dia sebelum ini perlu mengeluarkan wang sebanyak RM700 untuk sewa tapak selama sebulan berniaga.

"Kalau boleh untuk bulan Ramadan kali ini harap diberikan sedikit kelonggaran untuk kami berniaga di lokasi tertentu tanpa sebarang bayaran memandangkan keadaan ekonomi tidak berapa baik sekarang.

"Hasil jualan pun sebenarnya tidak berapa tinggi jika nak dibandingkan dengan sebelum pandemik. Adakalanya barangan jualan habis, adakalanya tidak," katanya.

WhatsApp Image 2022-03-29 at 8.18.05 PM

LOKASI gerai Ludfi ketika berniaga di bazar Ramadan pada tahun lalu.

Setuju dengan pendapatan itu adalah seorang lagi peniaga bazar Ramadan di Gombak, Selangor, Ludfi Mohamed yang turut menyatakan bahawa ada baiknya jika para peniaga pada tahun ini diberikan pelepasan dan dibenarkan berniaga di mana-mana sahaja.

Jelasnya, peluang berniaga bazar Ramadan hanya muncul sekali setahun dan itulah peluang untuk mereka mencari duit simpanan lebih di masa akan datang.

"Mungkin apa yang pihak berkuasa boleh lakukan adalah dengan memberi kebebasan berniaga tetapi masih lagi membuat pantauan berkala supaya tidak semua lokasi digunakan sewenang-wenangnya yang boleh mengganggu pengguna jalan raya," katanya.

WhatsApp Image 2022-03-29 at 9.49.39 PM

LOKASI gerai Siti Mufidah ketika berniaga pada tahun lalu.

Sementara itu, peniaga bazar di Keramat, Siti Mufidah Yusman pula berkata, perlu ada bayaran terutamanya bagi memastikan ada pihak yang terlibat menjaga kebersihan dan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

"Saya suka kalau diberikan kebebasan kepada peniaga untuk memilih lokasi tetapi bayaran tetap kena ada sebagai syarat untuk mendapatkan pemantauan daripada pihak berkuasa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

massa, bazar ramadan, peniaga, bebas, niaga