Baru dua bulan kerja, amah 'dari neraka' tergamak tikam majikan 100 kali


  • Benua
  • Jumaat, 01 Apr 2022

DARYATI membunuh majikannya dengan cara menikam hampir 100 kali, selepas dua bulan dia diambil bekerja. — Agensi

MAHKAMAH Rayuan Singapura pada Khamis menolak rayuan seorang pembantu rumah terhadap sabitan pembunuhan, apabila dia didakwa menikam majikannya hampir 100 kali.

Pembunuhan itu berlaku pada Jun 2016, dua bulan selepas wanita warga Indonesia itu, Daryati, 29, memulakan kerja sebagai amah untuk Seow Kim Choo, 59, dan keluarganya.

Peguam bela Leon Koh - yang memberi khidmat secara percuma untuk meneruskan pembelaan berhujah agar Daryati disabitkan atas tuduhan membunuh tanpa niat iaitu satu tuduhan lebih ringan.

Sewaktu menyampaikan penghakiman bagi panel tiga hakim, Hakim Andrew Phang berkata, rayuan itu bergantung secara khususnya kepada sama ada Daryati mengalami gangguan kemurungan berterusan atau gangguan kemurungan sekali-sekala ketika kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, berdasarkan bukti daripada seorang ahli psikiatrik, Hakim Phang mendapati Daryati tidak memenuhi kriteria diagnostik bagi gangguan-gangguan tersebut.

Beliau merujuk kepada bukti yang dinyatakan oleh Daryati sendiri sewaktu perbicaraan bahawa dia boleh menguruskan dan menyelesaikan kerja-kerja rumah yang diberikan setiap hari tanpa kesilapan.

Hakim itu juga menarik perhatian kepada tahap perancangan terperinci oleh Daryati sebelum melakukan serangan itu ke atas majikannya, lantas menunjukkan keupayaannya untuk berfikir jauh dan jelas akan tindakannya.

Ini termasuk melukiskan satu peta rumah, meminta bantuan daripada seorang lagi pembantu lain yang digajikan keluarga tersebut dan memilih peluang paling tepat untuk menyerang majikannya.

"Selain itu, tiada juga bukti kekurangan fungsi sebelum Daryati tiba dari Indonesia. Dia boleh menamatkan sekolah tinggi, bekerja di sebuah kilang dan menjalinkan hubungan dengan orang lain," kata Hakim Phang seperti dipetik The Strait Times.

Satu laporan psikiatrik daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati Daryati mengalami gangguan penyesuaian selama dua minggu sebelum pembunuhan itu berlaku.

Dia disabit kesalahan membunuh di bawah Seksyen 300c Kanun Jenayah yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup. Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak meminta hukuman mati.

Warga Indonesia itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada April 2021. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram